Pekerja resort mengaku bersalah miliki bahan berkaitan IS

isis-mahkamahKOTA TINGGI: Seorang pekerja am resort mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, bulan lepas.

Mohd Firdaus Saibi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki 29 keping imej dan 240 video berkaitan pengganas IS atau mempunyai unsur perbuatan keganasan dalam telefon bimbitnya, di hadapan sebuah resort peranginan di Kampung Sedili Kecil, dekat sini, pada 4.20 petang, 21 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh hari ini kerana kes akan disebut semula 21 Mei ini.

Kes dibawakan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Suhaila memohon kes disebut semula kerana menunggu laporan pakar dan meminta izin agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mazana turut memerintahkan tertuduh melantik peguam bela untuk mewakilinya.