Perbincangan tarif gas masih berjalan, kata syarikat Petronas

Yusa'-Hassan

KUALA LUMPUR: Petronas dan Petronas Gas Bhd (PGB) masih berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memuktamadkan struktur bagi meliberalisasikan perniagaan gas, termasuk terma komersil seperti tarif gas serta aspek teknikal di mana ia mempunyai kapasiti tidak digunakan.

“Kami menyokong sepenuhnya liberalisasi gas. Infrastruktur kami, iaitu regasifikasi dan penghantaran juga akan terbuka kepada akses pihak ketiga. Itu juga akan menyokong perniagaan gas hiliran dengan bekalan lebih kompetitif dan boleh dipercayai.

“Kami telah diberi tempoh setahun untuk menyediakan diri dengan pelbagai perjanjian. Kami sedang berbincang dengan pelanggan mengenai peraturan dan sebagainya,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB Yusa’ Hassan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-34 syarikat tersebut di sini, hari ini.

Petronas memiliki 60.63% pegangan dalam PGB.

Rang Undang-Undang Bekalan Gas (Pindaan) 2016 diluluskan pada Jun tahun lalu dan bertujuan menawarkan pelesenan import ke terminal regasifikasi dan pengedaran gas melalui saluran paip dan perkara berkaitan.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, PGB memperuntukkan lebih RM500 juta dalam perbelanjaan modal (capex) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 untuk penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan sedia ada.

Sebahagian besar capex akan diguna untuk projek PGB yang sedang dilaksana di Pengerang, Johor, tambahnya.

Yusa’ berkata, projek PGB terlibat yang menyokong pembangunan Projek Bersepadu Pengerang, dengan terminal regasifikasi gas asli cecair di Pengerang (RGTP), Projek Saluran Paip Gas Pengerang dan Unit Pemisahan Udara (ASU) dalam pelbagai peringkat penyiapan.

Menurutnya, pembinaan RGTP kedua kini 86% siap dan tangki simpanan pertamanya akan ditauliahkan pada akhir 2017 manakala projek ASU dijadual untuk pentauliahan pada suku ke-4 2018.