Polis Hatyai ambil tindakan jika Peter Chong reka cerita culik

thai-police-peter-chong

BANGKOK: Polis Hatyai tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis Peter Chong diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.

Ketua Polis Hatyai Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap Peter atas dakwaan mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu.

“Jika didapati tiada laporan yang dibuat, maka polis Hatyai akan membuat laporan terhadap beliau (Peter) kerana membuat cerita rekaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis Hatyai tetap menyiasat dakwaan Peter, yang merupakan pembantu Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, dengan meneruskan pemeriksaan di balai polis berhampiran serta polis pelancong Hatyai.

Kittichai berkata beliau juga akan berhubung dengan polis Malaysia bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan aktivis itu diculik di Hatyai, destinasi yang popular dengan pelancong Malaysia.

“Kita ingin tahu di balai polis mana beliau buat laporan polis,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata Peter memberitahu dirinya diculik ketika berada di Hatyai dan dibawa ke Pattaya, sebelum dibebaskan dan pulang ke tanah air.

Amar Singh berkata aktivis itu memberitahu beliau ke Hatyai untuk bertemu sumbernya berhubung kes kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter mengumumkan tentang kepulangan Peter dari Pattaya.

Peter dilaporkan hilang sejak 6 April lepas setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon di sini sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah keesokannya.