Skandal tanah: Datuk Seri, anak dibebas dengan jaminan RM200,000

sprm-courtGEORGE TOWN: Seorang penasihat sebuah syarikat pemaju hartanah bergelar Datuk Seri dan anaknya bergelar Datuk yang disiasat bagi kes skandal tanah di Pulau Pinang, dibebaskan daripada tahanan reman hari ini.

Pendaftar Kanan Tertinggi Mahkamah Sesyen dan Majistret George Town, Ahmad Tajudin Zain membenarkan penasihat berusia 74 tahun itu dan anaknya, 47, yang juga pengarah syarikat, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing sebanyak RM100,000 dengan 2 penjamin.

Bagaimanapun, prosiding hari ini dijalankan di sebuah hospital swasta kerana penasihat berkenaan dimasukkan ke hospital itu akibat tekanan darah tinggi, Jumaat lepas.

Terdahulu, anak lelaki penasihat itu dibawa dari bangunan SPRM ke hospital berkenaan kira-kira 10.50 pagi tadi dan keluar dari bangunan hospital itu sejam kemudian.

Ahmad Tajudin tiba di hospital itu pada jam 11.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan SPRM sebelum ini, 2 beranak itu ditahan bagi membantu siasatan skandal tanah yang melibatkan sebuah yayasan berkepentingan Bumiputera di Pulau Pinang.

Mereka dipercayai menyalahgunakan kedudukan dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu tanpa melalui proses dan tatacara ditetapkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga asal.

Selain itu, perbuatan kedua-dua beranak itu juga dipercayai mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan berkepentingan Bumiputera di negeri itu sejak beberapa tahun lepas.

 

Skandal tanah: Datuk Seri dan anak direman 6 hari