Tadika Islam timbulkan perdebatan

islamic-kindergarten

VIENNA: Perdebatan timbul di Austria susulan kajian yang mendapati tadika berkonsepkan Islam di ibu kota Vienna hanya mewujudkan satu lagi kelompok berasingan, malah dikatakan akan menghasilkan puak radikal pada masa depan.

Ednan Aslan, profesor berkelahiran Turki di Universiti Vienna, berkata seramai 10,000 kanak-kanak berumur antara 2 dan 6 tahun menghadiri 150 tadika bercirikan Islam, yang antara lain mengajar Al-Quran seperti mana tadika Kristian mengadakan kelas Bible.

Bagaimanapun, Aslan percaya sekurang-kurangnya satu perempat daripada tadika ini disokong puak yang membawa aliran Islam berfahaman Salafi, yang mahu melihat peranan lebih besar agama dalam politik dan masyarakat.

“Ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah yang dapat memastikan mereka berada dalam suasana Islam dan belajar beberapa surah,” Aslan yang banyak membuat kajian mengenai pendidikan Islam, memberitahu AFP.

“Tetapi mereka tidak sedar yang mereka menutup anak mereka daripada masyarakat berbilang budaya,” katanya.

Kajian Aslan yang diterbitkan tahun lalu terus dipetik mereka yang mahukan dasar imigrasi lebih ketat, seperti puak berhaluan kanan Freedom Party, di sebalik serangan di Paris dan Brussels yang didalangi militan Islam kelahiran tempatan.

Bagaimanapun, ramai yang menolak kajian Aslan, dan mempersoalkan metodnya.

Kajian dipertikai

Seorang wartawan Biber, majalah mengenai isu masyarakat minoriti, menyamar sebagai seorang ibu yang mahu mendaftarkan anaknya, berkunjung ke 14 tadika Islam.

Beliau tidak menemui bukti menyokong dakwaan Aslan yang tadika Islam menghasilkan pengikut “Salafi muda”, mahupun tuduhan yang lagu kanak-kanak diharamkan.

Bagaimanapun, wartawan itu mendapati satu pertiga daripada tadika yang dikunjunginya mengasingkan kanak-kanak daripada masyarakat amnya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai keterbukaan kakitangan tadika dan juga kefasihan mereka berbahasa Jerman.

Susulan itu, Dewan Bandaraya Vienna melancarkan kajiannya sendiri dengan bantuan 6 pasukan penyelidikan.

Masalah pertama yang bakal dihadapi ialah menentukan berapa buah tadika Islam wujud di kota ini.

Vienna mempunya 842 tadika berdaftar, 100 daripadanya dikelolakan Katolik, 13 Protestan, manakala bilangan tadika Islam tidak diketahui.

Separuh daripada penduduk Vienna yang berjumlah 1.8 juta adalah sama ada pendatang atau anak pendatang. Namun bukan semua mereka dialu-alukan.

“Apa yang menjadi isu baru sejak kebelakangan ini ialah aspek agama dan kebolehan menyesuaikan diri,” kata Thomas Schmidinger, pakar mengenai Islam dan politik di Universiti Vienna.

Austria mempunyai penduduk berjumlah 8.7 juta dan menerima lebih 130,000 orang yang memohon suaka sejak 2015, di mana Eropah berdepan krisis pelarian paling besar sejak Perang Dunia Kedua.

Sentimen anti-Islam

Freedom Party kini semakin popular, dan kajian mendapati rakyat semakin berpandangan negatif terhadap umat Islam, di samping insiden serangan ke atas umat Islam yang mendadak naik tahun lalu.

Beberapa pertubuhan Islam di Austria berkata kajian Aslan hanya menyemarakkan lagi sentimen itu.

“Kajian ini hanya memenuhi sentimen populis dan memaksa umat Islam sentiasa mempertahankan diri mereka,” kata Murat Gurol daripada badan bertindak Muslim Civil Society Network.

Beliau sendiri menghantar anaknya ke sebuah tadika Islam “untuk belajar nilai kemanusiaan dan tanggungjawab”.

Murat berkata beliau sewaktu kecil menghadiri tadika Kristian.

“Saya tidak tahu mengapa ia dibenarkan untuk satu agama tetapi dilarang untuk agama lain,” katanya kepada AFP.