Tugas baharu saya pantau keselamatan Sabah, kata Hishammuddin

hishamuddin-sabahKUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, satu daripada tugasnya sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Jawatan saya sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di JPM adalah membantu PM untuk bekerjasama rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Semua sedia maklum jawatankuasa pemantau Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dipengerusikan PM sendiri, manakala Lembaga Penasihat Esszone dipengerusikan bersama TPM serta ketua menteri Sabah,” katanya.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata demikian selepas majlis bacaan ikrar bebas rasuah sempena perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan 2017 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, di sini.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Pada perhimpunan bulanan itu, Hishammuddin turut menyampaikan sijil kepada lebih 400 penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang kepada warga Kementerian Pertahanan.

Rabu lalu, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas di JPM.

Hishammuddin berkata, beliau belum bersedia memaklumkan kepada orang ramai mengenai tugas selebihnya sebagai menteri tugas-tugas khas di JPM.

Beliau turut meminta mana-mana pihak jangan melaga-lagakan beliau dengan pemimpin tertinggi negara, ekoran pelantikan itu.

“Jangan cuba melaga-lagakan kita kerana hubungan saya dengan pemimpin tertinggi negara, sama ada di peringkat PM, TPM dan jemaah menteri sendiri cukup erat sekali.

“Saya tengok pihak ini memang ada agenda tersendiri yang tidak mahu lihat kita merapatkan barisan dan ke depan,” katanya.

 

Hishammuddin dilantik sebagai menteri dengan tugas-tugas khas

Jangan layan adu domba pembangkang, kata Hishammuddin