296 warga Korea Utara di Sarawak serah diri kepada imigresen

mustafar-ali-northkoreaPUTRAJAYA: Sebanyak 296 warga Korea Utara di Sarawak menyerah diri kepada imigresen, kata Ketua Pengarah Datuk Seri Mustafar Ali.

Mereka terdiri daripada warga negara itu yang tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), katanya.

“Kesemua 296 orang warga Korea Utara ini telah dan akan keluar dari Malaysia secara berperingkat dengan kerjasama majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafar berkata imigresen memberikan tempoh seminggu sejak 11 April untuk semua warga Korea Utara yang tamat tempoh pas yang sah dan masih berada di Sarawak supaya menyerah diri.

Sehingga hari ini, katanya, 113 daripada 117 orang warga Korea Utara dalam senarai Jabatan Imigresen Sarawak menyerah diri.

“Bagi 4 lagi warga Korea Utara yang masih belum menyerah diri, majikan telah memberikan jaminan untuk menyerahkan mereka pada hari ini,” katanya.

Selain itu, Mustafar berkata sebanyak 183 orang warga Korea Utara yang tinggal lebih masa menggunakan PLS juga menyerah diri.

Beliau berkata kemasukan warga Korea Utara tersebut ke Sarawak pada masa itu tidak memerlukan Visa Masuk dan pihak syarikat juga tidak pernah hadir ke imigresen Sarawak untuk mengemukakan permohonan Pas Kerja.

“Majikan juga telah mengesahkan tiada lagi warganegara Korea Utara yang telah tinggal lebih masa menggunakan PLS,” katanya.