DAP: Jelaskan kriteria Zakir Naik diberi PR

m-kulasageran-zakir-naikPETALING JAYA: Susulan laporan penceramah kontroversi Zakir Naik, dari India, memegang status penduduk tetap, M Kulasegaran mahu kerajaan menjelaskan mengapa kerajaan menahan “maklumat penting” itu.

Ahli Parlimen Ipoh Barat mahu kerajaan menyatakan kriteria yang diambil kira semasa memberikan status penduduk tetap kepada Zakir.

Beliau berkata kementerian dalam negeri tidak sepatutnya menahan maklumat itu daripada rakyat Malaysia.

“Mereka melepaskan sedikit maklumat. Mengapa mereka tidak mahu memberikan maklumat itu ketika ditanya sama ada Naik diberi kerakyatan? Mereka bertanggungjawab untuk menjawab dia seorang penduduk tetap dan bukan warganegara. Kerajaan sepatutnya bersikap terbuka,” katanya kepada FMT.

Kulasegaran juga meminta apakah keadaan khas yang mewajarkan keputusan kerajaan memberikan status penduduk tetap.

“Apakah kriteria yang digunakan untuk memberikan status penduduk tetap? Bolehkah dia berbahasa Melayu, dan berapa lama dia berada di negara ini?”

Beliau berkata kerajaan perlu nyatakan penceramah lain yang diberikan “tempat berlindung” di negara ini, mendesak kerajaan menjernihkan keadaan.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui Zakir diberikan status penduduk tetap 5 tahun lalu, iaitu sebelum beliau memegang portfolio tersebut.

Pada November, Timbalan Menteri Datuk Nur Jazlan Mohamed menepis laporan mendakwa Zakir diberikan kerakyatan dan sedang menyembunyikan diri di negara ini.

Nur Jazlan berkata menjadi rakyat Malaysia merupakan proses yang panjang, maka sebarang laporan mengatakan penceramah kontroversi itu rakyat negara ini hanyalah dakwaan semata-mata.

Nur Jazlan mempertahankan jawapan yang diberikan ketika ditanya mengapa beliau tidak menyatakan status penduduk tetap Zakir.

“PR bukan kerakyatan,” katanya kepada FMT. “Soalan yang ditanya ketika itu mengenai kerakyatan.”

Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India untuk disoal siasat mengenai dakwaan pengubahan wang dan aktiviti menyalahi undang-undang yang lain.