Fakta pilihan raya awal Britain: Apa seterusnya?

thresa-mayLONDON: Perdana Menteri Britain Theresa May hari ini mengumumkan pilihan raya awal pada 8 Jun. Berikut langkah yang perlu berlaku sebelum pilihan raya diadakan.

Bagaimana pilihan raya akan berlaku?

Mekanisme untuk sebuah kerajaan Britain mengadakan pilihan raya awal lebih rumit berbanding sebelum ini. Dahulunya kerajaan boleh mengadakan pilihan raya awal pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai, tetapi Akta Penggal Tetap Parlimen, yang diluluskan pada 2011, menetapkan jadual untuk pilihan raya diadakan setiap 5 tahun.

Di bawah undang-undang sedia ada, usul pengundan baharu sebelum jadual tersebut memerlukan sokongan 2/3 daripada 650 kerusi di Dewan Rakyat, termasuk kerusi yang dikosongkan. Ini bermakna kerajaan memerlukan 434 undi untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

May berkata beliau akan memperkenalkan usul di Parlimen pada Rabu. Jika diluluskan, Parlimen akan berakhir pada 25 hari bekerja sebelum tarikh pilihan raya umum iaitu, dengan mengambil kira cuti umum, pada 3 Mei.

Konservatif yang diketuai May memegang 330 kerusi di dewan, sementara pembangkang Buruh 229 kerusi. Buruh berkata ia akan menyokong pilihan raya umum, maka jumlah 559 undi memadai untuk meluluskan usul sekiranya semua wakil rakyat di kedua-dua pihak mengikut arahan parti.

Apa yang mengubah fikirannya?

Keputusan Theresa May memanggil pilihan raya awal sebenarnya suatu pusingan U, kerana beliau sebelum ini berulang kali menolaknya.

Beliau pernah berkata Britain perlukan kestabilan daripada pilihan raya baru, tetapi beliau hari ini berkata perpecahan di Westminster menjejaskan kestabilan kerajaan.

“Kita perlukan perpaduan di Westminster pada masa yang sangat bererti buat negara, tetapi sebaliknya perpecahan yang berlaku,” kata May hari ini semasa mengumumkan rancangan pilihan raya.

Beliau juga memetik kekuatan ekonomi sebagai petanda kejayaan kerajaannya.

“Walaupun ramalan mengatakan ada bahaya serta merta terhadap kewangan dan ekonomi, sejak referendum tempoh hari kita lihat keyakinan pengguna kekal tinggi, pekerjaan mencapai paras rekod dan pertumbuhan ekonomi yang melebihi semua jangkaan,” katanya.

Ahli ekonomi berkata kekuatan relatif ekonomi United Kingdom pada masa ini memberikan masa yang sesuai untuk pilihan raya diadakan, sebelum tanda-tanda kecil kelembapan menjadi ketara.

Kedudukan May juga juga mungkin dipengaruhi tinjauan.

Tinjauan ICM hari ini memberikan 18 mata peratusan kepada Konservatif mengatasi Buruh, manakala tinjauan lain minggu lepas memberikan 20 mata peratusan.

Buruh dibelit perpecahan dalaman berkenaan undi Brexit dan kepimpinan Jeremy Corbyn, yang ramai wakil rakyatnya percaya akan bergelut untuk memenangi pilihan raya.

Mata pertaruhan menunjukkan Konservatif pimpinan May mempunyai 80% peluang memenangi majoriti manakala peluang Buruh sekadar 2% sahaja.

Apa ertinya pada Brexit?

Sekiranya May menang pilihan raya 8 Jun nanti, ia akan mengukuhkan kedudukannya di dalam negara dan di meja rundingan dengan 27 anggota Kesatuan Eropah (EU).

Dengan majoriti yang besar, May akan kurang terhutang budi kepada golongan skeptik Euro pelampau dalam Konservatif manakala memenangi mandat baharu akan menguatkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Ia juga akan memberikan ruang yang lebih besar kepadanya di dalam negara untuk merundingkan perpisahan Britain, yang mengikut jadual semasa akan berlaku pada Mac 2019. Jika beliau menunggu sehingga 2020 untuk mengadakan pilihan raya, May terpaksa berdepan pengundi setahun selepas meninggalkan EU.

Dengan mengadakan pilihan raya pada Jun, May boleh meraih lebih banyak ruang di dalam negara memandangkan pilihan raya Britain seterusnya tidak akan diadakan sehingga 2022.

Langkah itu memberikan beliau ruang politik untuk menangani sebarang potensi implikasi ekonomi negatif akibat Brexit.

Tetapi pertaruhan ini juga bermakna 3 ekonomi terbesar EU – Jerman, United Kingdom dan Perancis – akan berdepan pilihan raya pada 2017.