Khalid: Peter Chong buang masa, tenaga polis

khalid-peterchong

KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan aktivis Peter Chong menghilangkan diri ke Thailand sehingga menyebabkan polis menubuhkan pasukan petugas bagi mengesan beliau sebagai membazirkan masa dan tenaga pasukan keselamatan itu.

Ketua polis negara berkata, tindakan Chong hanya menggemparkan masyarakat dan menakutkan rakyat yang kes penculikan semakin kerap berlaku di Malaysia.

“Tindakan dia (Peter Chong) hanya menyebabkan rakyat Malaysia gempar sahaja. Kita hendak tahu apa sebabnya dia buat begitu.

“Sudah tentu dia bazirkan masa anggota kita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Hatyai, Kolonel Kittichai Sankatavorn dilaporkan berkata, mereka akan membuat laporan terhadap Chong atas dakwaan mereka cerita palsu, jika terbukti tiada laporan polis dibuat berhubung dakwaan beliau diculik ketika berada di Thailand untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai penculikan Pastor Raymond Koh.

Bagaimanapun, polis Hatyai berkata, sehingga kini mereka tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chong diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya, baru-baru ini.

Khalid berkata, polis Malaysia sedang bekerjasama dengan polis Thailand, terutamanya dari Pattaya atas dakwaan Chong diculik dan dibawa ke sana.

“Kita sedang semak dengan polis Pattaya pula, kita tunggu maklum balas sebelum mengambil sebarang tindakan lain. Kita tidak boleh lakukan sebarang andaian, sama ada dibuat laporan polis atau tidak, kita tunggu maklum balas dari sana,” katanya.

Dua hari lalu, Khalid menerusi Twitter dan Facebooknya mengumumkan kepulangan Chong dari Pattaya.

Beliau dilaporkan hilang sejak 6 April lepas, setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, pada jam 6.30 pagi, 7 April lalu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/17/polis-hatyai-ambil-tindakan-jika-peter-chong-reka-cerita-culik/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/16/polis-peter-chong-dakwa-diculik-semasa-jejak-pastor-raymond/