Mana tender terbuka untuk jualan tanah murah, soal Guan Eng

lim-perda

GEORGE TOWN: Lim Guan Eng mahu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menjelaskan mengapa tiada tender terbuka dalam jualan tanah kerajaan di Nibong Tebal kepada sebuah syarikat swasta pada kerugian RM15.2 juta pada 2015.

Ketua menteri Pulau Pinang mempersoalkan mengapa Perda, yang terletak di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) di Jabatan Perdana Menteri, membisu lebih setahun lalu.

Guan Eng pada April mendedahkan tanah 3.4ha milik Perda, bernilai RM16.6 juta, dijual kepada sebuah syarikat swasta pada harga RM1.42 juta.

Nilai tanah dipastikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di bawah Kementerian Kewangan, katanya.

Guan Eng berkata tanah diperoleh Perda pada 1986 untuk membina rumah kos rendah tetapi dijual pada harga murah kerana isu hakisan tanah.

Pengerusi Perda Datuk Shabudin Yahaya harus dipertanggungjawabkan, katanya, kerana kerajaan menanggung kerugian dalam jualan itu.

“Atas alasan apa dia menolak penilaian JPPH?”

Shabudin, yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor, mendakwa tanah dijual murah kerana ia terletak berdekatan sungai dan terdedah kepada hakisan tanah.

Menurut beliau, analisis kos-faedah menunjukkan projek tersebut tidak lagi berbaloi untuk Perda kerana ia akan menanggung kerugian sehingga RM10 juta.

Terdapat 1007 rumah di kawasan itu yang terbiar sejak 30 tahun, dan perlu dimusnahkan supaya tanah boleh dijual.

Guan Eng berkata alasan hakisan tanah tidak boleh diterima, kerana masalah itu boleh ditangani dengan kerja kejuruteraan pada harga “maksimum RM5 juta”.

Walaupun Shabudin dilaporkan berkata pemilik baharu perlu membina rumah kos rendah di kawasan berkenaan, Guan Eng tidak yakin ia akan berlaku.

Ini kerana pada Mac lepas, pemilik baharu menyerahkan rancangan membina 27 rumah kedai kepada Majlis Perbandaran Seberang Prai.

Guan Eng mendakwa dakwaan membina rumah kos rendah di kawasan itu “sangat mengelirukan dan tidak bertanggungjawab”.

“Ini kerana garis panduan perumahan di seluruh negara menetapkan kamu perlu bina rumah kos rendah sebelum bina rumah kedai. Bagaimana rumah kos rendah akan dibina sedangkan tiada pun permohonan untuk bina sebuah rumah pun?” soalnya.