NGO India Muslim desak Ku Nan tarik balik kenyataan ‘baling cawan’

NGO-India-Muslim

PETALING JAYA: Gabungan NGO India Muslim menjelaskan pengusaha restoran India Muslim tidak akan menaikkan harga makanan serta minuman tanpa persetujuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sehubungan itu, mereka mendesak Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menarik balik kenyataannya yang mendakwa pemilik restoran India Muslim menaikkan harga makanan dan minuman, susulan penarikan subsidi gula serta tepung.

“Agak mustahil kami menaikkan harga sesuka hati sebagaimana diperkatakan Ku Nan, walaupun subsidi ditarik balik.

“Kami menyarankan sesiapa sahaja yang ingin mengeluarkan sesuatu kenyataan supaya lebih teliti dan mendalami terlebih dahulu sesuatu perkara agar dapat mengelakkan diri daripada menabur fitnah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ia susulan kenyataan Tengku Adnan hendak membaling cawan ke muka pemilik restoran India Muslim kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik restoran itu menaikkan harga teh tarik dan roti canai, ketika ahli Parlimen Putrajaya itu mewakili perdana menteri berucap pada Perhimpunan Agung Kimma ke-40, Sabtu lalu.

Gabungan NGO itu terdiri daripada Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin), Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) serta Liga Muslim Pulau Pinang.

Mereka terkilan dengan kenyataan setiausaha agung Umno itu yang juga dikenali sebagai Ku Nan dengan menyifatkan ia tidak berasas dan tidak masuk akal, selain menyakitkan hati masyarakat India Muslim serta tidak membantu memupuk perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Membaling cawan membawa impak negatif kepada masyarakat India Muslim secara amnya.

“Apakah ini budi bahasa yang kita pelajari sejak kecil lagi? Lebih malang lagi, kenyataan sebegini dikeluarkan seorang yang bergelar YB Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gabungan NGO itu berkata, sebagai seorang menteri, Tengku Adnan sepatutnya menjadi teladan kepada masyarakat, bukannya berjenaka dan beremosi ketika berucap mewakili Datuk Seri Najib Razak.