Pembantu Zakir Naik dituduh mengubah wang di India

Aamir-Gazdar

KUALA LUMPUR: Directorat Penguatkuasaan (ED) India mendakwa Aamir Gazdar, pembantu kepada penceramah kontroversi Zakir Naik, atas tuduhan pengubahan wang.

Kes terhadap Gazdar ialah beliau merupakan pengarah di 6 syarikat yang diasaskan Zakir di mana dana diubah.

Dipercayai Zakir akan didakwa tuduhan yang sama sekiranya beliau pulang ke India. Zakir kerap dilihat di Malaysia termasuk memberikan ceramah terbuka.

Waran tangkap tanpa ikat jamin dikeluarkan terhadap Zakir oleh Mahkamah Khas Akta Pencegahan Pengubahan Wang 13 April lepas kerana ingkar saman ED, lapor India Today.

Sebelum ini, ED mendaftarkan kes pengubahan wang terhadap Yayasan Kajian Islam (IRF), yang diasaskan Zakir. IRF juga diisyitharkan haram.

ED membekukan harta IRF dan badan lain dalam bentuk dana bersama, hartanah, dan baki bank bernilai Rs17.45 crores (RM12 juta).

Menurut laporan India Today, ED mendakwa Zakir dan rakan-rakan terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui pengucapan provokasi, dan mengalakkan permusuhan dan kebencian antara kumpulan agama berbeza.

Ucapan dan kuliah Zakir yang bersifat menghasut menjadi ilham kepada pemuda Islam di India untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tingkah keganasan, menurut laporan itu.

Penyiasat didakwa mendapati Zakir menubuhkan beberapa syarikat kosong untuk menghalakan wang “haram”.

Gazdar merupakan pengarah di sekurang-kurangnya 6 daripada syarikat tersebut. Penyiasat mendakwa, selaku kenalan rapat Zakir, beliau mengurus dan melencongkan dana untuk Zakir dan beliau bekerjasama dengan banyak aktiviti yang didakwa “jahat dan haram” penceramah itu.

ED mendakwa Gazdar, misalnya, mengendalikan wang milik Zakir yang tidak dapat dikesan, kira-kira Rs5.15 crore (RM3.6 juta) tanpa meninggalkan sebarang jejak pada asal atau penggunaannya dalam jangka masa 8 bulan.

ED berkata Gazdar mendedahkan wang tersebut diserahkan Zakir kepadanya. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sumber wang itu.

Indian Express melaporkan kakak Zakir, Nailah Noorani, mengakui kepada penyiasat bahawa dirinya “memainkan peranan sebagai muka depan” untuk 5 syarikat yang ditubuhkan Zakir.

Laporan berkata Noorani mendakwa dirinya menandatangani dokumen dan cek berkaitan syarikat tersebut “atas arahan” Zakir tanpa mempersoalkannya.

Noorani tidak ditangkap. Laporan itu seterusnya menceritakan butiran mengenai transaksi wang yang berlaku antara 2013 dan 2016.

Noorani memiliki 95% saham di syarikat berkenaan, sementara Gazdar memiliki 5%, menurut The Indian Express.

Hindustan Times mendedahkan bagaimana Zakir didakwa menjanjikan sebuah pangsapuri di selatan Mumbai untuk Gazdar, dan kontrak untuk syarikat pembinaan beliau, bagi mengumpan Gazdar meminjamkan nama untuk syarikat Zakir.

Menurut laporan tersebut, dalam keterangan kepada ED, Gazdar berkata Zakir “menjanjikan pangsapuri seluas 1,000 kaki persegi di Mazgaon, dimana dia merancang untuk membina sebuah bangunan. Dia juga berjanji untuk memberikan kontrak batu marmar untuk hartanah miliknya di India dan Dubai kepada syarikat saya.”