PKR gesa Sarawak sekat Petronas jual pegangan projek gas

see-che-how

PETALING JAYA: PKR menggesa kerajaan negeri Sarawak membawa Petronas ke mahkamah, jika benar syarikat itu menjual pegangannya dalam sebuah projek gas huluan.

Bertindak balas terhadap laporan terbaru yang Petronas dalam proses menjual kepentingan gas luar pesisir SK316, Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How berkata, minyak dan gas yang ditemui di dalam sempadan Sarawak adalah milik negeri itu.

Baru-baru ini, Reuters memetik sumber sebagai berkata, Petronas akan menjual pegangan dalam projek itu dengan anggaran AS$1 bilion (RM4.4 bilion). Pembida berpotensi termasuk Royal Dutch Shell, ExxonMobil Corp, PTT Exploration and Production dari Thailand dan firma Jepun.

“Hak negeri sangat jelas, sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Sarawak,” kata See yang juga seorang peguam.

“Sarawak mempunyai hak ke atas minyak dan gas di negeri ini. Sumber ini dianggap sebahagian daripada tanah Sarawak, yang menjadikan ia urusan negeri. Kami mencari gali minyak di Sarawak sejak 1910.”

Katanya, hak itu dirampas buat sementara waktu, selepas darurat diisytiharkan susulan rusuhan pada Mei 1969. Perintah darurat itu ditarik balik pada 2011.

Selepas itu, katanya, Akta Laut Wilayah 2012 penuh kontroversi mengehadkan hak Sarawak ke atas sumbernya dan ia ditentang bekas ketua menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg meneruskan perjuangan Adenan.

“Undang-undang sudah ada. Hak kami adalah jelas. Apa yang perlu kerajaan negeri lakukan ialah memperjuangkan hak kami. Saya sudah katakan sebelum ini jika Petronas mahu menjual SK316, mereka perlu rujuk kerajaan negeri dan negeri ini perlu diberi pilihan pertama untuk membelinya.”

Katanya, jika Petronas menjual SK316 kepada syarikat minyak lain tanpa merujuk kerajaan negeri, kerajaan boleh menyekat jualan itu melalui tindakan mahkamah.

Februari lalu, selepas laporan pertama mengenai usaha Petronas menjual 49% pegangan dalam SK316, See menggesa Abang Johari memastikan kerajaan negeri mendapatkannya. Ketika itu, Petronas menafikan ia sudah menjual pegangannya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/13/sarawak-kena-tegas-dengan-petronas-kata-pkr/