Polis Pattaya juga tidak tahu kes culik Peter Chong

Col-Apichai-Krobpet_peter-chong_kidnap_600

BANGKOK: Polis Pattaya tidak tahu-menahu mengenai dakwaan yang dibuat aktivis Peter Chong yang dia diculik sekumpulan lelaki di Hatyai dan dibawa ke Pattaya.

Menurut Ketua Polis Pattaya Kol Apichai Krobpet, polis tidak pernah menerima apa-apa laporan berhubung dakwaan aktivis dari Malaysia itu.

“Saya tidak tahu mengenai kes Peter Chong, ini kali pertama saya mendengar mengenai kes dan dakwaan itu.

“Saya juga tidak dihubungi Kedutaan Malaysia (di Thailand) atau polis Malaysia mengenai kes tersebut,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Apichai membuat penafian berhubung dakwaan Chong sehari selepas Ketua Polis Hatyai Kol Kittichai Sankatavorn membuat kenyataan yang sama menafikan pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan penculikan aktivis itu.

Ketua polis Pattaya itu berkata jika dakwaan aktivis tersebut terbukti tidak benar dan tidak berasas, ia boleh menjejaskan bukan sahaja imej Pattaya sebagai destinasi utama pelancongan tetapi juga industri pelancongan negara itu.

Beliau juga mengulangi amaran rakan sejawatannya dari Hatyai yang Chong boleh didakwa jika dakwaannya diculik di Hatyai dan Pattaya terbukti tidak berasas dan rekaan semta-mata.

Chong yang juga pembantu anggota parlimen Subang, R Sivarasa memberitahu polis Malaysia sekembalinya dari Thailand, dia diculik di Hatyai semasa bertemu satu sumber berhubung kehilangan Paator Raymond Koh yang dilaporkan dibawa ke Pattaya.

Aktivis tersebut yang hilang sejak 6 April mendakwa dia dibebaskan daripada tahahan di Pattaya dan kembali ke Malaysia Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter beliau mengumumkan kepulangan Chong dari Thailand Ahad lepas.

Beberapa pegawai penyiasat polis Pattaya yang ditemui Bernama terkejut apabila diberitahu mengenai dakwaan Chong sambil berkata mereka tidak mendengar apa-apa mengenai kes itu.

Sementara itu, satu sumber memberitahu Bernama Chong ada menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok memohon bantuan untuk kembali ke Malaysia.

Semasa perbualan, aktivis itu, tidak pernah menyebut mengenai penculikannya di Hatyai sebelum dibawa ke Pattaya dan dakwaan itu hanya timbul apabila Chong kembali ke Malaysia Ahad lepas.