Respons adun DAP terbaik, 2 exco Selangor ‘gagal’

Praba-Ganesan_selangor_600

PETALING JAYA: Sebuah badan pemantau yang menilai prestasi wakil rakyat hari ini memberikan status “gagal” kepada 2 exco Selangor, kerana tidak langsung memberikan respons kepada badan itu walaupun berkali-kali mengulangi permintaan.

Dua exco Selangor yang gagal ujian itu ialah Datuk Iskandar Abdul Samad (PAS) dan Dr Daroyah Alwi (PKR) kerana tidak memberi respons walaupun dihubungi 3 kali dalam tempoh 10 hari.

Hasil kajian Kuasa, badan yang ditubuhkan untuk menggalakkan proses demokrasi, mendapati hanya separuh daripada adun di Selangor dan Perak memberikan respons segera dalam ujian tindak balas wakil rakyat.

Ujian itu menilai tahap respons seseorang adun menerusi e-mel, Facebook dan Twitter dalam tempoh 3 hari, di mana sekiranya tiada respons balas, wakil rakyat itu akan dihubungi semula.

Di kalangan adun PKR, DAP dan PAS yang merupakan parti membentuk kerajaan negeri Selangor, Kuasa mendapati adun DAP paling cepat memberikan respons selepas dihubungi, dengan hanya seorang daripada 14 adun gagal menjawab.

Sementara itu, daripada 13 adun PKR, hanya 2 tidak menjawab, seorang daripada 2 adun Amanah tidak memberi respons, 6 daripada 13 adun PAS serta 6 daripada 11 adun Umno yang dihubungi juga tidak menjawab.

“Ini mungkin menandakan keletihan mahupun penurunan minat untuk berkhidmat di kalangan mereka yang bertanggungjawab bagi komunikasi adun atau kesibukan bersiap sedia menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Ketua Eksekutif Kuasa, Praba Ganesan dalam satu kenyataan hari ini.

Di Perak pula, 5 daripada 13 exco negeri diberikan status gagal. Empat daripada mereka ialah wakil rakyat Umno, iaitu Datuk Saarani Mohamad, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Mohd Nizar Zakaria, manakala seorang lagi dari MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Praba-Ganesan_kuasa

Lima exco itu termasuk dalam kumpulan 13 daripada 31 adun Barisan Nasional yang gagal memberikan respons.

Bagi pembangkang pula, pencapaian wakil rakyat DAP terbaik, apabila hanya 2 daripada 18 adunnya tidak menjawab, manakala 2 daripada 5 adun PKR dan 2 daripada 4 adun PAS tidak memberikan respons.

Satu-satunya adun Amanah di Perak juga lulus ujian itu.

Ini adalah kali ke-5 Kuasa menilai komunikasi elektronik 115 adun di Selangor dan Perak sejak 2014, sekepas Mac dan Oktober 2014, April 2015, April 2016 dan terbaru dari 22 Mac hingga 7 April lalu.

Praba berkata, wakil rakyat Umno mempunyai protokol komunikasi lemah atau kurang positif terhadap komunikasi elektronik.

Oleh itu, beliau mencadangkan pemimpin parti itu memberikan sokongan dari segi kewangan dan latihan kepada pusat khidmat mereka dan mempertimbangkan semula cara baru apabila memilih calon untuk PRU14.

Katanya, konsistensi dan prestasi semakin baik ditunjukkan adun DAP akan mendapat pulangan positif daripada pengundi muda pada PRU14.

“Pengundi muda tidak mudah memaafkan mereka yang memperlekehkan gelombang komunikasi moden kerana ini bermaksud ahli politik mengabaikan mereka.

“Komunikasi online akan mendorong lebih banyak interaksi online antara pengundi dan ahli politik. Mereka yang gagal nampak kelebihan ini akan tertinggal dalam pertarungan dengan lawan yang menyedari kepentingan komunikasi elektronik.”