Zahid: Kerajaan akan bincang status Kedutaan Malaysia di Pyongyang

Zahid-HamidiPUTRAJAYA: Kerajaan akan membincangkan keperluan menghantar duta ke Korea Utara dan status Kedutaan Malaysia di Pyongyang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman),” katanya menjawab soalan sama ada kerajaan berhasrat menghantar duta ke negara itu.

Zahid yang juga menteri dalam negeri ditemui selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa 2017 hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad pulang ke tanah air pada 22 Februari lalu selepas menerima arahan Wisma Putra, susulan ketegangan antara Malaysia dengan Pyongyang berikutan pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, didakwa dibunuh 2 wanita asing menggunakan agen saraf VX semasa menunggu penerbangan ke Macau di klia2.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara Putrajaya mengendalikan kes itu yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas. Korea Utara bertindak balas dengan mengisytiharkan duta besar Malaysia ke Korea Utara sebagai PNG.

Pada 7 Mac lalu, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur turut mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Bagaimanapun, 9 rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik itu, selamat pulang ke tanah air pada 31 Mac lepas.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/01/kedutaan-malaysia-di-korea-utara-tidak-akan-ditutup-kata-zahid/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/31/kaunselor-malaysia-di-korea-utara-gembira-akhirnya-pulang/