Alex guna serulingnya di luar Pasar Seni untuk terbang ke Indonesia

Aleksandr-ButyrinsideKUALA LUMPUR: Dengan bermain alat muzik di jalanan, seorang “backpacker” atau pengembara warga Rusia berharap dapat mengumpul wang yang cukup untuk meneruskan pengembaraannya ke Indonesia.

Aleksandr Butyrinside, 31, dari St Petersburg, Rusia mengutip derma dengan bermain serulingnya di luar Pasar Seni.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Alex berkata, beliau berharap dapat pergi ke Indonesia bagi menghadiri sebuah festival antarabangsa.

“Saya memerlukan RM300 untuk tiket kapal terbang dan kos lain untuk perbelanjaan di sana tetapi buat masa ini tidak mencukupi,” katanya yang baru 4 hari di Malaysia.

Menurut Alex, beliau memilih kawasan Pasar Seni kerana menganggapnya tempat terbaik untuk mengutip derma.

“Saya cuba beberapa tempat sebelum ini… saya cuba (mengutip derma) di kawasan Menara Berkembar Petronas tetapi pengawal keselamatan mengusir saya daripada sana kerana tempat itu dilarang,” katanya.

Alex yang pernah bekerja sebagai jurutera di Rusia, berkata mengutip derma sambil bermain alat muzik adalah cara terbaik baginya untuk mendapatkan wang.

“Sebenarnya setiap orang dari kita mempunyai cara yang tersendiri, anda mempunyai cara anda yang tersendiri, saya mempunyai cara saya yang tersendiri. Tetapi sekarang ini, ia adalah cara yang terbaik,” katanya.

Alex memasuki Malaysia menerusi Thailand dan setakat ini antara tempat yang dilawatinya hanyalah di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya tak ada pergi mana-mana. Saya mahu ke Pulau Pinang kerana ia adalah tempat yang popular dan saya ada kawan di sana. Saya mahu melawatnya tapi mungkin akan datang.

“Sekarang ini saya punya niat mahu ke Indonesia,” katanya yang menginap di sebuah hostel murah di ibu negara.

Orang ramai yang ditemui rata-rata tiada masalah dengan cara Alex mengutip derma.

Pemandu teksi, Tyagaraja Kalimuthu, 54, berkata, apa yang dilakukan Alex menunjukkan kejujurannya dan tidak menipu orang.

“Mungkin perjalanan dia terjejas, dia punya tiket hilang atau kehabisan wang,” katanya.

Beliau tidak fikir pelancong “backpacker” luar negara yang meminta derma menjejaskan sektor pelancongan di negara ini

“Saya rasa tidak begitu. Bukan semua orang yang datang sini buat macam ini. Mungkin satu dua orang,” katanya.

Baharudin Ali, 61, pula berkata Alex bukan mengemis.

“Dia mainkan lagu-lagu. Kalau ada yang nak derma, dia derma. Tak ada siapa yang nak marah,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan tentang trend pelancong “backpacker” dari negara Barat mengemis yang semakin meningkat di jalan utama sekitar Kuala Lumpur.

Media baru-baru ini melaporkan tentang warga Jerman, Benjamin Holst yang mempunyai penyakit macrodystrophia lipomatosa yang menyebabkan bengkak kaki, meminta sumbangan daripada orang ramai dan pengguna jalan raya berhampiran Jalan Dewan Bahasa Pustaka.

Pelancong ‘backpacker’ barat mengemis jadi trend di KL