Mengapa laluan 60km ECRL di Selangor ‘hilang’, soal DAP

Yeo-Bee-Yin_ECRL-train_600

PETALING JAYA: Bahagian penting dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) seolah-olah hilang peta, kata seorang Adun DAP.

Wakil rakyat Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata hanya 16.7km di sebelah Selangor muncul iaitu dari Gombak menuju masuk Pahang, tetapi tidak terdapat segmen penting yang menghubungkannya ke Pelabuhan Klang, di pantai barat.

“Hanya rangkaian Titiwangsa ke bahagian Gombak ditunjukkan, manakala sebahagian besar ECRL di Selangor terkeluar dari paparan awam,” katanya selepas melihat pameran awam ECRL di ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Menurut kakitangan SPAD, ‘laluan yang hilang’ dari Gombak ke Pelabuhan Klang, sekurang-kurangnya sepanjang 60km, akan dimasukkan dalam fasa ke-2 projek itu,” kata Yeo.

Yeo mempersoalkan bagaimana kerajaan dan penyokong projek bernilai RM55 bilion itu menukar perancangan penyambung pelabuhan di pantai timur dan barat, iaitu Kuantan dan Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu Dewan Rakyat pada November lalu yang ECRL “akan digunakan untuk mengangkut penumpang dan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang”.

“Mereka berkata, projek ini boleh mengubah laluan perdagangan serantau dengan laluan baru yang membolehkan pengeksport memintas Singapura untuk sampai ke destinasi masing-masing,” katanya, dan memetik laporan The Straits Times Singapura yang memetik perancang kerajaan Malaysia sebagai berkata keutamaan diberikan kepada pembinaan landasan 250km yang menghubungkan Kuantan dan Pelabuhan Klang.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Putrajaya mempunyai agenda meminggirkan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Harapan daripada proses membuat keputusan.

“Adakah mereka akan memaksa kami dengan apa sahaja rancangan masa depan mereka? Adakah kerajaan persekutuan cuba menyembunyikan sesuatu tentang projek ini?”

Yeo berkata kos ECRL yang dilaporkan bernilai RM55 bilion mungkin memerlukan kira-kira 1,000 bidang tanah di Selangor yang akan diperolehi apabila penjajaran di Selangor dimuktamadkan.

“Ia memberi banyak kesan ekonomi dan sosial kepada rakyat Selangor.

“Oleh itu, kerajaan negeri dan rakyat Selangor berhak mendapat maklumat lebih baik tentang projek ini,” katanya.