Penemuduga SPA tanya soalan drama Korea, kata graduan perubatan

spa_intervie_16001

PETALING JAYA: Seorang graduan perubatan mendakwa sistem ranking baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk calon doktor pelatih tidak adil.

Graduan yang tidak didedahkan nama mendakwa, soalan yang diajukan semasa temuduga tidak terpiawai.

Ditambah pula SPA memberitahu calon markah temuduga tidak akan diberitahu kepada mereka, graduan berkata ia membuka ruang kepada amalan rasuah dan kronisme dalam menentukan siapa yang lulus atau sebaliknya.

“Ada kawan saya ditanya soalan perubatan yang betul seperti bagaimana mengesan penyakit dan memberi rawatan, ini boleh diterima dan kami menjangkakannya.

“Bagaimanapun, sesetengah ditanya tentang hobi. Sesetengah penemuduga menghabiskan masa 20 minit hanya bercakap tentang drama Korea, bukannya bertanya soalan perubatan,” katanya kepada FMT.

Suara ini menyusuli laporan wakil rakyat DAP Teo Nie Ching semalam, mendakwa graduan perubatan lambat menjadi doktor pelatih kerana SPA lembab.

Graduan ini berkata apabila SPA menjalankan temuduga antara penghujung Januari dan awal Februari lalu, beliau diberitahu, selepas beberapa panggilan kepada suruhanjaya dan kakitangan Majlis Perubatan Malaysia, lebih daripada 3,000 calon ditemuduga walaupun hanya ada 1,300 kekosongan.

“Mereka beritahu saya, kami akan dimaklumkan melalui emel sama ada kami lulus temuduga atau tidak dan markah kami tidak akan didedahkan.

“Saya bertanya adakah kami akan mendapat tahu markah temuduga, mereka kata ‘tidak’ dan ia adalah sulit, tetapi 1,300 calon teratas akan ditawarkan pekerjaan terlebih dahulu.

Beliau mahu pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Beliau berpendapat oleh kerana temuduga tidak terpiawai dan markah adalah sulit, keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang lulus belajar dulu.

“Tawarkan pekerjaan kepada mereka yang sudah lama menunggu, bukannya mengikut sistem ranking ini kerana ada graduan yang hanya lulus belajar pada akhir Disember tahun lepas dan hanya perlu menunggu tidak lebih daripada 3 bulan.”

Graduan perubatan lambat jadi pelatih kerana JPA lembab, dakwa DAP