PR Zakir Naik: Perkasa ucap tahniah pada kerajaan

Hassan-Basri-zakirnaik-perkasa2PETALING JAYA: Perkasa tidak melihat sebarang masalah dengan tindakan kerajaan memberi status penduduk tetap (PR) kepada penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Naib Presiden Perkasa, Hassan Basri Muhammad berkata, Malaysia berhak memberikan PR kepada sesiapa termasuk Zakir, malah ia bukan suatu perkara baru.

“Perkasa mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana memberi PR kepada pendakwah terkemuka dunia dalam bidang perbandingan agama.

“Malaysia sebuah negara berdaulat mempunyai hak dan peraturan memberi PR kepada sesiapa.

“Sebelum ini, kerajaan sudah memberi puluhan ribu PR kepada warga asing yang memohon dan mematuhi peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Putrajaya memberikan status PR kepada Zakir sejak 5 tahun lalu.

Ia menyebabkan beberapa pihak mempertikaikan kelayakan Zakir.

Hassan berkata, Perkasa memandang serius tindakan “biadap” beberapa individu yang menentang dan mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan status PR tetap kepada penceramah dari India itu.

“Siapa mereka ini mahu menjadi jaguh mengajar kerajaan dalam pemberian PR? Soalnya dengan memberikan beberapa nama iaitu pemimpin DAP Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dan peguam Siti Kasim.”

Zakir, penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 dan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara baru-baru ini, disiasat pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang haram.

Waran tangkap tanpa ikat jamin dikeluarkan terhadap Zakir oleh Mahkamah Khas Akta Pencegahan Pengubahan Wang 13 April lepas kerana ingkar saman Direktorat Penguatkuasaan (ED), lapor India Today.

Hassan berkata, Perkasa tidak mencampuri urusan Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang mendakwa Zakir terlibat aktiviti keganasan melalui yayasannya.

“Siasatan itu hak kerajaan India dan kerajaan Malaysia sedia memberikan kerjasama jika India mempunyai hubungan perjanjian bantuan perundangan bersama (MLA) dengan Malaysia,” katanya.

Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) dilaporkan memohon notis merah Interpol terhadap Zakir selepas penceramah kontroversi itu ingkar saman untuk tampil disiasat mengenai hal ehwalnya di India.

Notis merah merupakan instrumen paling dekat kepada waran tangkap antarabangsa.

Sabtu lepas, Zakir dalam satu program dianjurkan kumpulan Perkasa mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India, sebaliknya berkata pihak berkuasa negara itu perlu menyoal siasat beliau menerusi Skype dan kaedah tele-sidang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/18/apa-perlunya-tambah-seorang-lagi-orang-india-sebagai-pr-soal-siti-kasim/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/18/mengapa-tidak-ekstradisi-zakir-naik-soal-zaid-ibrahim/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/18/tiada-layanan-istimewa-untuk-zakir-naik-kata-ketua-polis/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/18/zakir-naik-dapat-status-pr-sebelum-saya-di-kdn-kata-zahid/