Sabah fatwakan ajaran Millah Abraham menyeleweng, haram

milah-abraham

PETALING JAYA : Jawatankuasa Fatwa Sabah sudah menfatwakan ajaran gerakan Millah Abraham sebagai menyeleweng dan haram, kata pembantu menteri kepada ketua menteri Sabah hari ini.

“Saya harap pada tahun ini dapat diwartakan,” kata Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika dihubungi FMT hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata polis mencadangkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah mengharamkan segera ajaran Millah Abraham di negeri itu.

“Polis mengesyorkan pengharaman itu supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan segera,” kata pegawai tertinggi polis baru-baru ini.

Ajaran gerakan tersebut sudah difatwakan sebagai menyeleweng dan diharamkan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak.

Menurut polis, seramai 50 ahli Millah Abraham dikesan di Sabah sejak 2015. Pengikut kumpulan itu, rata-rata berusia antara 30 hingga 50 tahun, dilaporkan berada di Tuaran, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Dilaporkan Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman mendapati Millah Abraham membeli tanah di Sabah, antaranya di Tuaran dan Simunjan, untuk dijadikan markas operasi, sebahgian daripada usaha mereka menubuhkan pemerintahan di rantau ini.

Ariffin bagaimanapun nafi Millah Abraham berada di negeri itu, sebaliknya pengikut gerakan itu datang ke Sabah dari Malaysia Barat tahun lalu.

“Adapun yang ada dari Kuala Lumpur ke Sabah dan kita sudah kembalikan mereka. 8 orang dikembalikan,” katanya, dan menambah mereka dikehendaki Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.