SPRM panggil 24 individu berhubung pembelian pangsapuri di Australia

azam

JOHOR BAHRU: Sebanyak 24 individu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian pangsapuri oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Australia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata pihaknya turut menjalankan siasatan meliputi lebih 7 premis termasuk pejabat Mara Inc, pejabat peguam serta pejabat penilai hartanah.

Beliau berkata siasatan kali ini berdasarkan maklumat baharu dan mempunyai kaitan dengan pembelian hartanah di Australia yang mana SPRM membuka kertas siasatan pada 2015.

“Jadi banyak perkara lagi kita kena buat untuk melihat punca wangnya dan ke mana wang itu dibelanjakan dan siapakah pihak yang terlibat dalam menerima wang ini.

“Siasatan kes ini kita buka di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram,” kata beliau kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Azam menghadiri satu mesyuarat operasi, yang turut dihadiri Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani dan Pengarah SPRM negeri Datuk Azmi Alias.

Ketika ditanya bila siasatan mengenai kes ini dijangka selesai, Azam berkata siasatan akan mengambil masa.

“Kes terbaru ini akan melibatkan permohonan bantuan guaman daripada pihak Australia.

“Oleh itu, saya jangka sehingga penghujung tahun ini belum tentu selesai kerana apabila melibatkan pihak di luar negara, pastinya akan mengambil masa,” kata Azam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
Sementara itu, SPRM kini dalam proses menyiapkan kertas siasatan berhubung sejumlah pemain daripada beberapa pasukan bola sepak di negara ini yang dipercayai mengambil rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan.

“Masih ada seorang lagi pemain dalam tahanan reman kita dan saya jangka minggu depan, kertas siasatan akan dibawa kepada timbalan pendakwa raya untuk dipertimbangkan sebarang pertuduhan,” kata beliau.