Kastam Johor tumpas penyeludupan bir dan minuman keras

Datuk T SubromaniamJOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Johor menumpaskan 3 kes penyeludupan bir dan minuman keras bernilai lebih RM20 juta termasuk duti dan cukai di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, antara 17 dan 22 April lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam berkata rampasan dilakukan hasil risikan anggota Kastam selepas mendapati sindiket penyeludupan menyalahgunakan kemudahan zon bebas untuk menyeludup barangan terbabit.

“Dalam serbuan pertama, 17 April lepas, anggota Kastam menemukan 14 kontena muatan bir dan minuman keras yang diimport tanpa lesen import di pelabuhan itu manakala dalam serbuan ke-2 pada 20 April, sejumlah 44,000 peti bir dan minuman keras (whisky) ditemukan dalam 2 gudang di pelabuhan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Subromaniam berkata dalam serbuan ke-3 pada 22 April lepas pula, anggota Kastam menemukan 115,200 tin bir pelbagai jenama selepas memeriksa 2 lori kontena di pelabuhan terbabit.

Beliau berkata kedua-dua pemandu lori kontena itu ditahan dan direman selama 4 hari bagi membantu siasatan.

Katanya semua kes tersebut disiasat mengikut Sekyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana terlibat dalam mengimport dan mengangkut barangan larangan.

Menurut Subromaniam, modus operandi sindiket penyeludupan tersebut dilakukan dengan membawa masuk barangan ke dalam zon bebas sebelum dibawa keluar tanpa proses kelulusan Kastam.

Akibatnya kerajaan kehilangan hasil duti dan cukai berjuta ringgit setiap tahun, katanya.

Menurut Subromaniam, bagi menangani isu berkenaan, kerajaan menguatkuasakan pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 iaitu pengimport perlu mengemukakan lesen import semasa mengikrar kepada Kastam mulai 1 April lepas.

“Sebelum 1 April, lesen import tidak diperlukan dan selepas 1 April, Kastam menguatkuasakan pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 iaitu pengimport perlu mengemukakan lesen import semasa berikrar kepada Kastam.

“Perintah Kastam ini mensyaratkan barangan seperti rokok dan minuman keras adalah tertakluk kepada lesen import semasa pengimportan ke dalam negara atau semasa barangan tersebut dalam transit,” katanya.