Mati dalam van: Ibu maafkan pemandu, tapi…

matidalamvan_1PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam van selama 3 jam memaafkan pemandu van atas kecuaiannya namun mahu ada tindakan undang-undang sewajarnya.

Ibu Muhammad Iqram Danish dalam temu bual dengan The Star berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan.

“Saya memaafkannya tapi itu antara saya, dia dan Allah, namun undang-undang perlu ditegakkan,” kata Jumrah Thamrin memetik laporan akhbar itu.
Polis Gombak berkata, pemandu van berusia 21 tahun itu mengambil Iqram dan 2 yang lain ke tadika di Bandar Country Homes, Rawang, jam 2.00 petang Jumaat lepas.

Bagaimanapun, pemandu itu tidak sedar Iqram tertidur di kerusi belakang dan tidak turun dari kenderaan itu dengan 2 yang lain.

Beliau memandu pulang dan hanya menyedari Iqram masih di dalam van jam 5.00 petang semasa beliau mahu mengambil kanak-kanak balik dari tadika.

Iqram dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh di mana beliau disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan, pemandu van itu disiasat di bawah Sesyen 31 (1) kanak-kanak-Akta 2001 kerana kecuaian.