NGO: China larang nama Islam di Xinjiang tak masuk akal

Sophie-Richardson

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) menyifatkan tindakan China melarang ibu bapa di wilayah Xinjiang memberi nama Islam kepada anak mereka sebagai sekatan tidak masuk akal.

Ia susulan laporan media yang pihak berkuasa Xinjiang mengharamkan berpuluh-puluh nama dengan konotasi Islam seperti Saddam dan Madinah, atas alasan ia boleh “meningkatkan kegairahan terhadap agama” mereka.

Pengarah HRW di China, Sophie Richardson dalam satu kenyataan semalam berkata, kanak-kanak dengan nama larangan itu tidak akan diberikan pendaftaran isi rumah – dokumen penting untuk memasuki sekolah kerajaan dan mendapat perkhidmatan sosial.

Katanya, dasar dan hukuman bersifat penindasan yang dilaksanakan kerajaan China itu bukannya penyelesaian terhadap insiden keganasan dan ketegangan etnik yang semakin meningkat di Xinjiang, beberapa tahun ini.

“Sebaliknya, mereka hanya akan menaikkan kemarahan etnik Uyghur. Jika kerajaan serius membawa kestabilan dan keharmonian ke rantau ini seperti didakwanya, mereka sepatutnya mengurangkan, bukannya melaksanakan semula dasar bersifat penindasan itu.”

Richardson berkata, selain larangan nama Islam itu, Beijing turut menguatkuasakan peraturan lain yang menyekat kebebasan beragama atas alasan memerangi “ekstremisme agama”, contohnya pihak berkuasa Xinjiang melarang lelaki menyimpan janggut luar biasa atau tudung di tempat awam, pada 1 April lalu

Katanya, China turut memaksa rakyatnya menonton program televisyen atau mendengar rancangan radio milik kerajaan. Mereka yang enggan berbuat demikian akan dikenakan hukuman.

“Dasar-dasar ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap perlindungan domestik dan antarabangsa ke atas hak kebebasan mengamalkan kepercayaan dan bersuara.”

Beliau berkata, selain orang awam beragama Islam di Xinjiang, penjawat awam di wilayah itu turut dikenakan hukuman jika tidak tegas melaksanakan peraturan ditetapkan kerajaan.

Katanya, seorang pegawai diberikan “amaran serius” hanya kerana mengadu dasar kerajaan kepada isterinya menerusi aplikasi mesej, Januari lalu, manakala seorang kakitangan wanita Uyghur dipecat kerana mengadakan majlis perkahwinan di rumah, bukannya di lokasi diluluskan kerajaan, Mac lalu.

“Awal bulan ini, 97 pegawai di wilayah Hotan ditegur, termasuk seorang daripadanya diturunkan pangkat kerana ‘tidak berani’ menghisap rokok di depan tokoh agama yang kononnya mencerminkan mereka tidak cukup ‘tegas dalam pendirian politik’.”

Xinjiang terletak di barat laut China dan dihuni lebih 10 juta etnik minoriti Uighur beragama Islam.