PETALING JAYA: PAS Selangor mengesahkan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang terpalit dengan kes rasuah membabitkan banglo mewah, bertindak keluar parti selepas tewas dalam pemilihan jawatan ketua Pemuda Kawasan Ampang.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Adam keluar daripada PAS dan menyertai PKR selepas itu.
“Dulu Adam ahli PAS Ampang, tapi dia tewas dalam pemilihan ketua Pemuda, dia terus keluar PAS dan masuk PKR,” katanya kepada FMT hari ini.
Iskandar berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang Adam menyertai PAS sebelum melompat ke PKR pada 2010.
Rafizi dilaporkan berkata, PKR tidak boleh memandang mudah dakwaan ke atas Adam kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti itu dan boleh dijadikan modal politik oleh Umno dan PAS.
“Kalau tidak ditangani dengan baik, ia memberi kesan kepada parti. Nanti orang akan kata kesalahan orang lain kami bising, tapi bila kena pada parti sendiri kami diam.
“Jadi kami perlu bertindak, jika tidak musuh politik Pakatan Harapan, baik Umno mahu pun PAS akan ambil kesempatan,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi turut mendesak Adam mengisytiharkan harta dan bercuti sehingga perbicaraan kesnya selesai.
Jumaat lalu, Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Dia dituduh memberi keterangan dan dokumen palsu ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lepas.
Antara lain, Adam dituduh berbohong ketika menyenaraikan pecahan sumber dana pembelian banglo yang menurutnya berharga RM1.2 juta.
Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, lebih setengah juta ringgit dibayar menerusi pinjaman daripada 2 ah long.