DAP: Mesti lapor berapa ramai orang India berjaya keluar dari kemiskinan

BM_7PETALING JAYA: Kerajaan mesti melaporkan berapa ramai golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) orang India yang berjaya diangkat secara tahunan sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

Ini bagi melihat sejauh mana keberkesanan pelan pembangunan 10 tahun itu, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

“Saya fikir (peruntukan) RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun…setiap tahun dianggarkan RM100 juta…adalah jumlah yang besar.

“Persoalannya siapa yang akan uruskan wang itu dan berapa ramai golongan IB40 berjaya dinaikkan menjadi golongan pertengahan,” katanya kepada FMT.

Charles mengulas mengenai rancangan pembangunan 10 tahun “Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India” yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu.

Antara program yang bakal diperkenalkan adalah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, pertolongan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang India yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Charles tidak yakin pelan tindakan yang dilancarkan Ahad lepas akan berjaya sepenuhnya.

“Cara kerajaan mengatasi masalah struktur masyarakat India masih sama seperti dulu,” katanya.

“Ini adalah pengumuman ke-3 yang sudah berlarutan lebih 30 tahun. Kali pertama dan ke-2 gagal pun gagal, saya kira tidak ada penyelesaian untuk masalah ini.”

Charles mengambil contoh skim dana saham RM500 juta di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan diperkenalkan MIB untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah.

Beliau berkata masih belum jelas bagaimana orang India berpendapatan rendah dapat menyediakan wang untuk menyertai skim itu.

“Saya tak faham, adakah kerajaan akan memberikan wang kepada mereka untuk membeli saham tersebut?” katanya.