JAKARTA: Dua kapal tangki asing yang lolos daripada tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 2 hari lepas, berjaya ditahan di perairan Indonesia oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) semalam.
Media dalam talian memetik Panglima Komando Armada Indonesia Kawasan Barat TNI AL, Aan Kurnia sebagai berkata, pihaknya berjaya menahan 2 kapal yang menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia itu di perairan Tanjung Uma, Batam, Kepulauan Riau di Sumatera.
Kedua-dua kapal bersama anak kapal dilaporkan lolos daripada tahanan APMM 2 hari lepas selepas ditahan di selatan Tanjung Penyusop, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran.
Aan Kurnia berkata, kapal itu dikenali sebagai MT Brama Ocean dan MT Orca, yang masing-masing memasang bendera Malabo (ibu negara Equatorial Guinea, Afrika Tengah) dan Fiji di kapal mereka, ditahan dalam satu operasi khas selepas pihaknya menerima laporan daripada APMM.
“Kita menerima laporan daripada APMM mengenai kemungkinan kapal yang lolos itu memasuki perairan Indonesia dan kita bertindak pantas membuat rondaan dan menemui kapal itu,” katanya.
Beliau berkata, pasukan khas TNI AL itu membuat rondaan di beberapa kawasan perairan dan kemudiannya menemui 2 kapal dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kapal dan 6 anak kapal untuk siasatan.
Katanya siasatan awal mendapati kapal itu menepati ciri kapal yang lolos daripada APMM dan mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menukar warna kapal berkenaan.
Aan Kurnia berkata kedua-dua kapal bersama 6 kru itu kini ditahan di dermaga Yos Sudarso, Markas Komando Pangkalan Utama TNI AL IV/Tanjung Pinang untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kru kapal itu akan didakwa kerana kesalahan memasuki perairan Indonesia tanpa dokumen yang sah.
Lima hari lepas, APMM menahan 2 kapal asing di selatan Tanjung Penyusop kerana tidak mempunyai kebenaran bersauh dan hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki itu juga tidak mempunyai insurans.
Bagaimanapun, kapal tersebut berjaya melarikan diri selepas ditahan 3 hari di perairan itu.