183 pertubuhan Cina dan NGO desak Shabudin Yahaya letak jawatan

fcam

PETALING JAYA: Sayap Wanita Gabungan Persatuan Cina Malaysia (FCAM) mewakili 183 pertubuhan menghantar memorandum kepada perdana menteri bagi mendesak beliau mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ia susulan kenyataan kontroversi Shabudin dalam persidangan Dewan Rakyat pada 4 April lalu yang menyatakan tidak salah seorang perempuan dikahwinkan dengan perogolnya dan cara itu mungkin lebih baik supaya perempuan berkenaan tidak melalui masa depan yang gelap.

Menurut laporan Oriental Daily, 3 daripada 183 pertubuhan itu ialah badan bukan kerajaan (NGO) tidak berasaskan kaum Cina, iaitu Jihad For Justice, Challenger Malaysia dan National Indian Rights Action Team (Niat).

Ketua Wanita FCAM, Ng Geok Chee yang dipetik akhbar itu berkata, memorandum berkenaan mengandungi 3 tuntutan iaitu Shabudin perlu memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan kontroversi, mengambil tindakan disiplin dan memecat Shabudin serta tidak memilih calon mengabaikan kepentingan wanita dan kanak-kanak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kami mahu Shabudin memohon maaf tanpa syarat. Dia tidak sepatutnya bersembunyi di sebalik agama dan menggunakan pelbagai alasan untuk lari daripada tanggungjawabnya,” katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Politik perdana menteri, Datuk Wong Nai Chee, semalam.

Ng berkata, selaku presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan terhadap Shabudin dan tidak membiarkan wakil rakyat parti itu mengeluarkan kenyataan tidak menghormati maruah wanita serta kanak-kanak.

“Jika orang tidak berkualiti seperti ini terus dipilih untuk mewakili parti pada pilihan raya akan datang, kami akan mengambil tindakan menggalakkan pengundi wanita menolak calon sebegini.”

Beliau berkata, Shabudin perlu meletak jawatan kerana mereka berpendapat tindakan itu perlu dijadikan peringatan dan amaran kepada wakil rakyat lain bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Pada 4 April lalu, Shabudin dilaporkan berkata, perkahwinan antara mangsa rogol dan perogol mungkin menjadi “ubat” kepada masalah sosial dan walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa berkahwin dengan perogolnya.

Bagaimanapun, keesokannya, Shabudin menerusi satu kenyataan berkata, beliau terkejut dan kecewa media massa melaporkan perbahasannya di sidang Dewan Rakyat mengenai perkahwinan bawah umur “secara tidak tepat”.

Beliau membidas media memetik kenyataannya di luar konteks, terutamanya mengenai perempuan akil baligh daripada usia 9 tahun memiliki keadaan fizikal seperti 18 tahun, lalu tiada halangan untuk berkahwin dari segi fizikal.

Katanya, tindakan media itu menggambarkan dirinya menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan perogol dan mangsa, sedangkan beliau menolak usul mengharamkan perkahwinan bawah umur.

“Kerana usul itu berlawanan dengan peruntukan undang-undang syariah seperti yang terkandung dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri.

“Isu ini sepatutnya dilihat dari sudut positif contohnya tentang masa depan mangsa itu sendiri terutamanya bagi kes ‘atas dasar persetujuan bersama’ tadi.

“Pada masa sama, perkahwinan ini bukanlah ‘pintu belakang’ untuk halalkan kesalahan rogol,” kata wakil rakyat Umno itu.

Ahli Parlimen Umno: Mungkin masa depan gelap kalau perogol, mangsa tak berkahwin

Shabudin: Tak sokong kahwin perogol, cuma tolak haramkan kahwin bawah umur