Di sebalik suara putus hubungan, PAS masih bayangkan kerjasama

Hashim-Jasin-pakatanALOR SETAR: Di sebalik usul Dewan Ulama PAS semalam yang nekad mahu PAS bersendirian tanpa kerjasama dengan Pakatan Harapan, pemimpin tertinggi parti itu masih menganggap pintu kerjasama dengan DAP dan Amanah belum tertutup sepenuhnya.

Tetapi syaratnya, mereka terima “Islam mesti memimpin”.

Bercakap kepada wartawan pada Muktamar Pemuda PAS semalam, Musyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata sebarang kerjasama politik dengan PAS mestilah mengutamakan rakyat dan Islam.

“Kita anggap diri kita hamba kepada rakyat dan orang yang merasa diri dia hamba tidak akan menderhaka kepada tuannya (rakyat),” kata Hashim, dan menambah rakyat mahukan keselamatan, kemakmuran, kedamaian dan keadilan.

Pendirian itu seolah-olah berbeza dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, yang menegaskan PAS tidak berhasrat menyertai kerajaan yang melibatkan DAP walaupun pembangkang menang sekali lagi di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14.

Pada muktamar 2015, PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Ia juga berkeras tidak akan bekerjasama dengan parti serpihannya, Amanah.

Semalam, Dewan Ulama PAS yang turut mengadakan mesyuarat tahunannya meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR tanpa bahas.

Usul itu hampir pasti diluluskan secara rasmi hari ini oleh muktamar PAS.

Muktamar PAS kali ini yang diadakan di Alor Setar dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, dan berakhir pada 1 Mei.

Hashim berkata PAS tiada sebab untuk menolak kerjasama dengan sebarang parti sekiranya mereka sedia memenuhi syaratnya.

“Tapi syarat itulah yang penting: Islam mesti memimpin. Apa yang Tuhan nak, kita buat. Bukan kita nak jadi orang besar, bukan nak jadi perdana menteri, bukan nak jadi menteri atau pun wakil rakyat.

“Yang penting siapa sahaja yang buat (kerjasama) mesti mengutamakan Islam sebab kita yakin negara ini hanya boleh diselamatkan melalui pelaksanaan syariat Islam.”

Selepas terkuburnya Pakatan Rakyat, PAS membentuk apa yang dipanggilnya “blok ketiga” bersama 2 parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Sebab itu kalau kita mengajak Pakatan Harapan, dia bersedia untuk tunduk kepada kehendak blok ketiga yang kita nak buat, (iaitu) meletakkan Allah sebagai kuasa syariat.”

Hashim turut membawa kisah sejarah pada era kuasa Kristian Rum, di mana penganut Kristian sedia mempertahankan kerajaan Islam kerana mereka nampak keadilan dalam Islam.

“Kenapa hari ini orang yang bukan Islam tak boleh nampak kebenaran dan keadilan yang terdapat dalam Islam?”

PAS baru-baru ini berikrar meneruskan desakan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi meningkatkan hukuman maksimum bagi kesalahan jenayah syariah, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan usul tersebut.

Rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mahu meningkatkan hukuman maksimum bagi pesalah syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/27/ulama-pas-lulus-usul-putus-kerjasama-dengan-pkr/