Norza presiden baharu BAM, Mohamed Al Amin dilantik penasihat

Mohamad-Norza-Zakaria_bam_600

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kini secara rasminya menyandang jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas dipilih sebulat suara oleh ahli majlis badan induk itu bagi penggal 2017/2021.

Mohamad Norza menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkuat kuasa hari ini, sekali gus menyaksikan BAM masih mengekalkan tradisi 32 tahun untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi sukan itu.

Beliau akan dibantu dua timbalan presiden iaitu Tan Sri Abdul Aziz Hussain dan Datuk Lim Teong Kiat.

Jawatan setiausaha kehormat BAM masih disandang Datuk Ng Chin Chai yang mengekalkan jawatan itu selama 7 tahun berturut-turut manakala Datuk V. Subramaniam dipilih memegang jawatan bendahari.

Sebelum ini jawatan nombor 1 sukan itu menjadi tumpuan apabila tercetusnya ‘gentlemen’s agreement’ iaitu perjanjian antara Mohamad Norza, Tengku Mahaleel dan bekas pemangku presiden, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid mengenai jawatan kerusi panas itu.

Namun isu tersebut selesai setelah Mohamed Al Amin bersetuju memberi laluan kepada Norza selepas diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada sidang media yang turut dihadiri Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Seri Perdana baru-baru ini.

Ahli Majlis BAM juga bersetuju untuk melantik Mohamed Al Amin sebagai penasihat BAM.

Seramai 14 ahli gabungan hadir pada AGM yang diadakan di Hotel Dorsett Subang di sini.

Berikut adalah senarai kepimpinan baharu BAM bagi penggal 2017/2021:
Presiden: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Timbalan Presiden : Tan Sri Abdul Aziz Hussain dan Datuk Lim Teong Kiat
Setiausaha Kehormat: Datuk Ng Chin Chai
Penolong Setiausaha Kehormat : Mohd Taupik Hussain
Bendahari: Datuk V. Subramaniam