Presiden baharu BAM sasar emas pertama Olimpik

Norza-Zakaria-bamPETALING JAYA: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) dan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berkuat kuasa serta merta.

Pada masa yang sama beliau meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagi tujuan tersebut, Mohamad Norza, yang juga timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), menyasarkan untuk mempunyai dua wakil dalam setiap acara badminton di sukan Olimpik tiga tahun lagi.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau secara rasmi dilantik sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2017-2021 pada mesyuarat agung tahunan ke-72 badan induk itu di Subang Jaya dekat sini, hari ini.

Malaysia hampir memperoleh emas dalam sukan Olimpik London dan Rio de Janeiro pada 2012 dan 2016. Sukan Olimpok 2020 akan berlangsung di Jepun.

Dipetik Bernama, Mohamad Norza memberitahu, keputusan meletakkan jawatan dalam ISN dan KLBA adalah sebagai langkah bagi mengotakan janjinya untuk mengurangkan jawatan yang disandang dalam persatuan sukan.

“Seperti kebanyakkan orang berkata bahawa saya terlalu banyak memegang jawatan, jadi saya telah kurangkannya pada hari ini, dan berharap selepas ini saya boleh membahagikan masa dengan sebaiknya.

“Peletakkan jawatan itu juga adalah sebagaimana janji saya untuk memberikan sepenuh tumpuan sebagai presiden BAM yang baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusukan mesyuarat itu.

Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai peletakkan jawatannya di ISN.