‘Nak bertanding, tandinglah’, Wan Azizah jawab PAS

azizah-pas

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan kepada PAS jika parti itu berhasrat mahu bertanding di kerusi-kerusi disandang oleh PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Nak bertanding, bertandinglah, apa saya nak buat kalau PAS nak bertanding,” kata Wan Azizah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, petang tadi.

Bagaimanapun Presiden PKR itu mengingatkan PAS bahawa matlamat tunggal barisan pembangkang adalah untuk menjatuhkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Tapi memanglah kita katakan, kalau matlamatnya 1, adalah untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi, saya kira itu adalah suara-suara rasional di antara kita,” kata beliau.

Pada sidang media hari ini, beliau diapit Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassan; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai.

Seperti dijangka, muktamar induk PAS petang tadi meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

PKR dituduh melanggar syarat “tahaluf siyasi” seperti menyokong Amanah dan menentang PAS dalam pilihan raya kecil dan bersama DAP menentang keras usul dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

PAS juga meluluskan usul menggesa kepimpinan parti mempertimbangkan untuk meletakkan calon di semua kerusi PKR, sekali gus memastikan pertandingan 3 penjuru, yang dipercayai akan memberi kelebihan kepada BN.

Usul itu akan diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini mengesahkan pihaknya berhasrat menawan Selangor.

Pakatan Harapan bagaimanapun sudah membincangkan kesediaan mereka berdepan keputusan PAS itu.

“Memang kita mempunyai mesyuarat antara kami dan kita melihat sama ada senario politik paling baik kerana kita menghadapi pilihan raya umum akan datang dan kita mengambil kira semua pandangan,” kata Wan Azizah, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Pada muktamar lalu, PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP. PAS, PKR dan DAP sebelum ini menganggotai Pakatan Rakyat.