1 dalam 20 amah larikan diri, kata persatuan majikan

Engku-Ahmad-orang-gaji

PETALING JAYA: Statistik menunjukkan seorang daripada setiap 20 pembantu rumah melarikan diri daripada majikan mereka di negara ini, lapor The Star.

Ia bukan jumlah kecil apabila mengambil kira jumlah pembantu rumah yang berdaftar dengan agensi pekerjaan di negara ini.

“Terdapat lebih 250,000 pembantu rumah berdaftar di Malaysia. Itu bermakna 1,250 pembantu rumah melarikan diri. Ia adalah kebimbangan serius.

“Dan bagaimana pula dengan pembantu rumah yang tidak dilaporkan? Walaupun hanya seorang pembantu rumah melarikan diri, ia adalah isu besar kerana ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein yang dipetik akhbar itu.

workersaTidak kira apa sebab pembantu rumah melarikan diri, Engku Ahmad Fauzi berkata, usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan insiden itu.

“Majoriti daripada mereka mahu mencari rezeki halal. Ya, ada beberapa orang yang nakal dengan motif berlainan, tetapi ada juga yang ditipu agensi pekerjaan.

“Majikan sebaik-baiknya membayar lebih, kira-kira RM12,000 hingga RM14,000 setahun kepada pembantu rumah asing. Tetapi, tiada jaminan pembantu rumah itu tidak akan melarikan diri,” katanya.

Ada banyak alasan pembantu rumah melarikan diri, termasuk mereka didera majikan, ditipu agensi pekerjaan mengenai jenis pekerjaan, keadaan tempat kerja yang teruk, peluang lebih baik di tempat lain atau sekadar mahu mendapatkan kebebasan.

Seorang penolong pengurus agensi pekerjaan bersetuju dengan statistik itu kerana itu adalah kadar hampir sama dengan pembantu rumah yang melarikan diri daripada pelanggan mereka.

“Pembantu rumah dari bandar besar di Indonesia lebih cenderung melarikan diri. Mereka sudah merasai kehidupan di bandar dan bergaul dengan bermacam-macam orang berbanding mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan lebih pendiam,” kata penolong pengurus Agensi Pekerjaan Cosmoten, Alice Leong dipetik akhbar itu.

Bagaimanapun, seorang pekerja dari agensi pekerjaan lain berkata, pembantu rumah meninggalkan negara mereka untuk mencari rezeki bagi keluarga di kampung halaman, jadi kemungkinan mereka melarikan diri adalah rendah, kecuali wujud masalah dengan majikan.

“Sesetengah pembantu rumah tidak dibayar gaji pada masanya, tidak dibenarkan makan dengan betul, tidak boleh bercakap dengan keluarga mereka, atau tidak diberi masa cukup untuk berehat,” kata pekerja wanita daripada agensi pekerjaan di Puchong, Selangor.

“Jika kita melayan mereka seperti sebahagian daripada keluarga kita, mereka tidak akan lari. Mesti ada sebab kenapa mereka tidak gembira sehingga perlu melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, sebuah NGO yang memperjuangkan hak pekerja asing berkata, ia adalah baik apabila semakin ramai rakyat Malaysia sedar terhadap penderaan dilalui pembantu rumah.

“Kami ada jiran atau saudara kepada majikan itu yang membuat laporan kepada pihak berkuasa apabila mereka melihat penderaan berlaku.

“Jadi, rakyat Malaysia sedang membantu pembantu rumah ini dapatkan bantuan,” kata Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez yang dipetik The Star.

Walaupun majikan dibenarkan membuat laporan polis berhubung kes pembantu rumah melarikan diri, tetapi menurut pihak berkuasa, sebarang siasatan dan tindakan susulan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.