Bilal Philips antara 6 pendakwah Islam, Kristian diharamkan Denmark

Terry-Jones-Bilal-PhilipsCOPENHAGEN: Denmark semalam mengharamkan 5 penceramah Islam dan seorang pastor Kristian daripada memasuki negara itu, mendakwa mereka menyemai kebencian dan mengancam keamanan.

Senarai hitam itu yang pertama di Denmark, timbul susulan undang-undang yang diluluskan tahun lepas membenarkan pengharaman tokoh agama warga asing yang dianggap kerajaan merbahaya kepada keselamatan awam.

Mereka termasuk Bilal Philips, pendakwah berketurunan Jamaica yang memegang kerakyatan Kanada, Kamal El-Mekki (Amerika Syarikat), Mohamad al-Arifi dan Salman al-Ouda (Arab Saudi), dan Mohammad Rateb al-Nabulsi (Syria).

“Kerajaan tidak akan menerima penyebar kebencian datang ke Denmark untuk menyemai kebencian terhadap masyarakat Denmark dan mempengaruhi orang melakukan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, menyebarkan idea tentang khalifah Islam dan secara umum menjejaskan nilai asas kami,” kata Menteri Imigresen Denmark, Inger Stojberg.

Seorang lagi yang diharamkan masuk ialah Terry Jones, pastor Kristian dari Florida yang pada 2010 dikecam kerana mengugut membakar naskhah Al-Quran.