Kenapa polis tak beritahu kami, soal isteri warga Turki ditahan

Ayse-GulKUALA LUMPUR: Isteri kepada 2 warga Turki yang pada mulanya disangkakan diculik tidak tahu suami mereka ditahan polis sehingga nampak catatan Twitter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tengah hari ini.

Isteri Turgay Karaman, Ayse Gul Karaman berkata, polis tidak pernah memaklumkan beliau mengenai penahanan itu, walaupun selepas rakan suaminya membuat laporan polis kerana menyangkakan Turgay diculik.

“Selama ini kami sangka beliau diculik sehingga ditunjukkan tweet itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

“Malah, kami tidak tahu kenapa mereka ditahan, tiada seorang pun daripada (pasukan) polis menghubungi kami.”

Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar, isteri kepada seorang lagi lelaki Turki yang ditahan – Ihsan Aslan, turut memberitahu perkara sama.

Katanya, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam untuk melaporkan kehilangan suaminya.

“Mereka kata akan hubungi saya jika mereka mempunyai sebarang maklumat. Tetapi, kami tidak menerima sebarang panggilan daripada polis.”

Khalid menerusi Twitternya mengesahkan Turgay dan Ihsan ditahan semalam berkaitan “aktiviti mengancam keselamatan negara” di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Ditanya mengenai perkara itu, Ayse dan Ainnurul menitiskan air mata serta mempersoalkan keperluan menahan suami mereka yang “tidak melakukan sebarang kesalahan”.

“Suami saya seorang lelaki baik, beliau tidak pernah mencederakan serangga. Jadi, macam mana beliau boleh boleh menyakiti orang lain? soal Ayse.

“Mereka bekerja di sini secara sah. Mereka ada permit, visa dan pasport. Saya tidak tahu apa yang berlaku.

“Kami sudah berada di sini lebih 13 tahun, kami suka rakyat Malaysia. Mereka seperti saudara kami. Malaysia ialah rumah pertama kami dan satu-satunya matlamat suami saya ialah mendidik anak-anak di sini.”

Bagi Ihsan pula, isterinya yang merupakan warganegara Malaysia, Ainnurul berkata, beliau sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun dan menjalankan perniagaan menjual tudung secara borong. Mereka mempunyai 3 anak berusia 2 hingga 10 tahun.

“Kami mempunyai seorang anak lelaki istimewa, beliau kurang upaya,” katanya sambil menangis.

“Anak-anak saya tidak tahu apa yang berlaku kepada ayah mereka. Saya hanya beritahu mereka beliau tiada di sini.”

Salinan laporan polis yang dibaca FMT menunjukkan Turgay ialah pengetua Time International School di Ipoh, dikatakan diculik di tempat letak kereta Wisma E&C di Damansara Heights, petang semalam.

Isterinya, Ayse mendakwa 5 lelaki Malaysia menculik suaminya, berdasarkan rakaman CCTV di tempat letak kereta. Keretanya juga ditinggalkan di sana.

Ihsan pula dilaporkan hilang oleh isterinya selepas beliau tidak pulang ke rumah malam tadi.

Warga Turki yang ‘hilang’ ditangkap polis, kata Khalid

2 warga Turki di Malaysia dilaporkan ‘hilang’ selepas diculik