Wanita dakwa suami warga Turki mungkin di Kementerian Pertahanan

sad-mindef

KUALA LUMPUR: Isteri seorang warga Turki yang ditahan polis semalam, kini mendakwa telefon bimbit suaminya dikesan berada di Kementerian Pertahanan di sini.

Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar berkata, apabila suaminya, Ihsan Aslan, tidak menghubunginya selepas waktu bekerja seperti kebiasaan, beliau memeriksa rakaman CCTV di bangunan pejabat suaminya.

Katanya, rakaman CCTV menunjukkan Aslan meninggalkan kedainya pada pukul 9 malam semalam.

“Berdasarkan GPS, kita boleh mengesan pergerakannya dan dia kali terakhir dilihat berhampiran Kementerian Pertahanan di Jalan Maktab. Sejak itu, telefonnya dimatikan.”

Ainnurul berkata, beliau pergi ke kementerian itu, tetapi dihalau pengawal keselamatan yang memaklumkan beliau tiada hak berada di sana dan jika terus berada di kawasan berkenaan, beliau boleh dianggap menceroboh.

“Jadi, saya pergi terus ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan, tetapi tiada sebarang berita daripada mereka sejak laporan dibuat.

“Jadi, saya merayu kerajaan Malaysia, tolonglah…beliau layak mendapat perbicaraan adil,” kata ibu kepada 3 anak itu sambil menitiskan air mata ketika bercakap kepada wartawan di luar Kompleks Mahkamah KL, petang tadi.

Ainnurul yang merupakan warga Malaysia berkata, suaminya pernah bimbang akan diculik atau ditangkap, berikutan kejadian sama yang berlaku ke atas 2 lelaki warga Turki lain, Oktober lalu.

Sebelum ini, 2 lelaki itu – Alettin Duman dan Tamer Tibik, dilaporkan ditahan pihak berkuasa Malaysia dan diekstradisi ke Turki pada Oktober lalu. Kedua-duanya didakwa mempunyai hubungan dengan pergerakan Gulen yang diharamkan di Turki.

Pergerakan Gulen diasaskan Fethullah Gulen, bekas imam dan penulis yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat. Kumpulan itu dituduh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendalangi cubaan rampasan kuasa tentera yang gagal pada Julai 2016.

Ainnurul bagaimanapun menafikan sebarang kemungkinan suaminya menyertai pergerakan Gulen kerana beliau sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun dan berada di sini “semata-mata untuk berniaga”.

Ihsan menjalankan perniagaan borong menjual tudung.

“Saya akan terus meminta beliau dibicarakan secara adil. Saya mahu beliau bebas,” kata Ainnurul.

Ihsan dan seorang lagi lelaki Turki, Turgay Karaman pada mulanya dilaporkan diculik semalam.

Salinan laporan polis yang dibaca FMT menunjukkan Karaman yang juga pengetua Time International School di Ipoh, dikatakan diculik di tempat letak kereta Wisma E&C di Damansara Heights, petang semalam.

Isterinya, Ayse Gul Karaman mendakwa 5 lelaki Malaysia menculik suaminya, berdasarkan rakaman CCTV di tempat letak kereta.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya hari ini menyatakan 2 lelaki itu tidak diculik, sebaliknya mereka ditahan berkaitan aktiviti mengancam keselamatan negara.

Karaman sepatutnya menjadi saksi dalam perbicaraan 1 kes di Mahkamah Majistret hari ini.

Warga Turki yang ‘hilang’ ditangkap polis, kata Khalid

2 warga Turki di Malaysia dilaporkan ‘hilang’ selepas diculik

Kenapa polis tak beritahu kami, soal isteri warga Turki ditahan