Adun PAS sambut kepulangan Azmin di KLIA, tepis spekulasi

azminali2_pasSEPANG: Di sebalik spekulasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan kehilangan sokongan, majoriti Adun Selangor hari ini hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan menteri besar itu dari luar negara sebagai tanda solidariti.

Adun PKR, PAS, DAP dan penyokong mula berkumpul seawal jam 2.30 petang di hadapan pintu laluan khas KLIA untuk menyambut kepulangan Azmin dari Dubai, selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Timur Tengah.

Ketika ditemui pemberita, Azmin turut menolak dakwaan akan ada pilihan raya mengejut di negeri itu, di sebalik spekulasi Adun mahu mengubah sokongan mereka.

“Ini semua provokasi politik jahat dan tidak bertanggungjawab untuk mengugat kestabilan kerajaan Selangor.

“Timbalan speaker ada kat sini, tanya dia ada ke tak pilihan raya negeri,” katanya, merujuk Adun Bangi, Shafie Ngah dari PAS.

Mereka yang hadir menyambut Azmin termasuk 2 exco PAS, Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Sementara itu Adun PAS lain yang hadir memberi sokongan kepada Azmin ialah Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, Abdul Rani Osman (Meru), Khairuddin Othman (Paya Jaras), Hasbullah Ridzwan (Gombak Setia) dan Noor Hanim Ismail (Seri Sedang).

Awal minggu ini, Muktamar PAS di Kedah memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PKR. Keputusan itu dilihat akan memberi kesan kepada exco PAS di Selangor.

PAS sebelum ini memutuskan kerjasama dengan DAP.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menasihatkan exco PAS meletak jawatan sekiranya parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Antara wakil rakyat lain yang hadir memberi sokongan kepada Azmin ialah Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Seri Andalas Xavier Jayakumar, dan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Semalam, Adun Batu Tiga dari PKR, Rodziah Ismail menafikan spekulasi beliau menyertai delegasi 6 wakil rakyat ke Istana Selangor untuk mengumumkan penarikan balik sokongan kepada Azmin.

Beberapa Adun, seperti Dr Daroyah Ali, Dr Idris Ahmad dan Yaakob Sapari turut dinamakan dalam mesej itu.

Azmin hari ini meluahkan keyakinan majoriti masih setia bersama kepimpinan.

“Saya gembira dan yakin dengan Adun Selangor yang telah memberi khidmat terbaik dan sentiasa tumpu soal kerja, bukannya main politik jahat seperti musuh kita.

Muktamar PAS sebulat suara terima usul putus hubungan dengan PKR