Azmin kata Najib cemburu, status quo di Selangor kekal

azmin,najibSEPANG: Menteri Besar Selangor hari ini menepis kenyataan perdana menteri mengenai kestabilan politik di Selangor, dan menggambarkan Datuk Seri Najib Razak mencemburui prestasi kerajaan pakatan di negeri itu.

“Ada pihak cemburu dengan kejayaan negeri Selangor bukan sahaja dari segi prestasi prestasi ekonomi, tapi dari segi perpaduan yang utuh.

“Lihat laporan MIER (Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia) yang terbaharu…salah satu faktor kekuatannya adalah kerana kesatuan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya dari lawatan di Timur Tengah.

Najib dalam catatan di blog hari ini berkata konflik dalaman dan perpecahan dalam pakatan pembangkang tidak baik untuk pembangunan negara yang memerlukan kestabilan politik.

Ahad lepas, perwakilan mesyuarat agung tahunan PAS meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR, yang bersama mereka membentuk pentadbiran kerajaan Selangor dengan DAP dan Amanah.

Muktamar tersebut merupakan mesyuarat kedua selepas pemilihan 2015, yang menyaksikan beberapa pemimpin veteran parti tewas dan meninggalkan PAS untuk menubuhkan Amanah.

Tahun yang sama juga menyaksikan PAS dan DAP bertelagah dan akhirnya memutuskan hubungan, antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan.

PKR baru-baru ini meminta PAS supaya berundur daripada kerajaan Selangor sekiranya usul itu diluluskan. PAS mempunyai 3 exco dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri, dan para ahli majlis di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Di Selangor pada masa ini, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan menteri besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas.

“Bayangkan sekiranya perkara ini terjadi di peringkat persekutuan,” kata Najib. “Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat.”

Ketika negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14, yang selewat-lewatnya yang perlu diadakan tahun depan, Najib berhujah kerajaan perlu dipimpin gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan.

“Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk 9 pakatan…pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun,” katanya.

Azmin bagaimanapun cuba meyakinkan pemberita dengan berkata pakatan Selangor akan meneruskan mandat yang diberikan pada pilihan raya umum lepas.

“Mandat rakyat satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan mandat diberikan pada pemimpin pada PRU lalu,” katanya.

Terbaharu, timbul spekulasi 6 wakil rakyat Selangor berkunjung ke Istana Selangor untuk menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepimpinan Azmin.

 

Najib: Parti politik kukuh, berpengalaman, sehaluan bentuk kestabilan

Muktamar PAS sebulat suara terima usul putus hubungan dengan PKR