Kumpulan bertindak orang hilang berikrar tidak akan diam diri

CAGED,-Suaram,-Bersih,-missing,-Suhakam,-Raymond-Koh

KUALA LUMPUR: Empat puluh enam pertubuhan masyarakat bergabung hari ini membentuk kumpulan bertindak khas untuk menonjolkan kes orang hilang, susulan kehilangan misteri beberapa aktivis.

Diketuai gerakan hak asasi Suaram, Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Secara Paksaan (CAGED) juga dianggotai gerakan reformasi pilihan raya Bersih 2.0, Pemuda PKR, Lawyers for Liberty, Pertubuhan Kebajikan Harapan Perlis (Perlis Hope) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas).

CAGED berkata ia akan mendesak kerajaan membantu mangsa dan keluarga mereka untuk mendapatkan keadilan.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth, dan aktivis Amri Che Mat.

Raymond diculik pada sidang hari 13 Februari lepas dalam operasi yang terancang dan tersusun.

Ahli jawatankuasa pemandu Bersih Thomas Fann mempersoalkan kegagalan polis menyelesaikan kehilangan itu sejak laporan dibuat beberapa bulan lepas.

“Kumpulan ini akan menimbulkan kesedaran mengenai kes dan isu kehilangan secara paksaan dan menyelaras tindakan advokasi bersama pertubuhan masyarakat di seluruh negara,” kata Thomas.

Beliau berkata CAGED pernah menulis kepada polis untuk memberikan jaminan pihak berkuasa tidak mendalangi kehilangan itu.

“Kalau kerajaan tidak terlibat, mereka perlu beritahu kami. Kami juga sedia membantu siasatan kes,” kata Thomas pada sidang media hari ini.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata “kehilangan paksa” menjadi isu baharu di Malaysia yang perlu diberi perhatian berterusan.

Beliau berkata kumpulan itu akan menganjurkan vigil dan melobi sokongan daripada agensi tempatan dan luar negara.

“Vigil seluruh negara akan memastikan kes kehilangan secara paksaan terus diberi perhatian. Kami tidak akan berdiam diri, kami akan pastikan kes sentiasa diingati.”

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila memberitahu media supaya diam dan membenarkan polis menjalankan tugas.

Khalid menepis dakwaan kononnya polis terbabit dalam penculikan Raymond.

Sevan berkata CAGED akan melobi sokongan daripada agensi seperti Jawatankuasa Kehilangan Secara Paksaan (CED) di bawah Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Beliau berkata kumpulan itu juga menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asai Manusia (Suhakam), dan merancang untuk melapor kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kelakuan polis dalam siasatan.

Kumpulan itu juga menubuhkan talian “hotline” (011 2424 4877) dan emel ([email protected]) untuk membantu mangsa dan ahli keluarga yang memerlukan bantuan.