Najib peroleh lanjutan perintah halang ‘fitnah’ Tony Pua

tony-pua_1mdb_600

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak diberikan pelanjutan injunksi interim untuk menghalang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee daripada memfitnah beliau berhubung satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melanjutkan perintah sementara itu sehingga permohonan injunksi antara 2 pihak diputuskan.

Peguam Nik Alia Hanafi yang mewakili Najib memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan 24 Mei untuk mendengar permohonan injuksi 2 pihak itu.

“Najib memohon perintah injunksi untuk menghentikan Tony daripada memfitnah beliau dalam apa juga cara sama ada ucapan atau dalam mana-mana media sosial berhubung kenyataannya dalam klip video itu,” katanya selepas prosiding di dalam kamar hari ini, dengan Tony diwakili peguam Joanne Chua.

Pada 21 April, Hakim Abu Bakar Jais membenarkan permohonan Najib bagi injunksi 1 pihak atau ex-parte untuk menghalang defendan daripada menerbitkan perkataan yang sama atau serupa seperti yang terkandung dalam kenyataan defendan.

Najib memohon injunksi ex-parte itu kerana bimbang betapa seriusnya kenyataan Tony itu menjejaskan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan serta pemimpin sebuah parti politik.

Pada 21 April, Najib atas kapasiti peribadi menyaman Tony kerana memfitnah berhubung kenyataan dalam siaran video langsung berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata Tony membuat kenyataan di ruang legar Parlimen pada 6 April yang dirakam dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejennya dalam Facebook rasminya “Tony Pua”.

Plaintif mendakwa klip video berdurasi 2 minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di Internet.

Najib berkata kenyataan dalam video itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan menfitnahnya yang secara lazim dan biasa membawa maksud plaintif menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada ahli Parlimen Marang untuk mengusulkan rang undang-undang persendirian dan mengetepikan rang undang-undang yang lain.

Beliau mendakwa perkataan itu juga membawa maksud plaintif tidak menghiraukan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu dalam kalangan parti pembangkang dan seorang pemimpin yang mengamalkan politik kotor untuk memastikannya masih berkuasa.

Najib berkata perkataan fitnah itu merupakan fitnah yang amat serius dan menyebabkan plaintif dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan dalam kalangan rakan, kenalan dan masyarakat awam di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Najib memohon antaranya, ganti rugi am, tambahan, teladan, faedah dan 1 perintah injunksi bagi menahan defendan atau ejennya dalam apa cara sekali pun daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah terhadapnya.

Beliau juga memohon perintah supaya Tony menerbitkan permintaan maaf secara bertulis yang diterbitkan sekurang-kurangnya di dalam 2 akhbar utama yang akan dikenal pasti plaintif dalam bentuk dan istilah yang akan ditetapkan plaintif.

Najib juga memohon perintah supaya Tony mengeluarkan video itu daripada laman Facebook beliau dengan serta merta.