Peniaga bawa lari lori MBPP ditahan

Mior-Faridalathrash-WahidGEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 2 lelaki yang merampas lori Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas gerai makanan laut mereka di Jalan Tanjung Tokong diserbu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu ditahan sejurus selepas mereka tiba di Balai Polis Pulau Tikus.

Beliau berkata mereka disiasat kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kes itu “diselesaikan” tetapi tidak menyebut bila kedua-dua lelaki berkenaan akan dibawa ke mahkamah.

Malam tadi, lelaki yang juga pekerja gerai itu melarikan lori milik MBPP dalam usaha mengelakkan gerai haram mereka dirampas buat kali ke-4.

Mereka memandu lori itu sejauh 2km ke Balai Polis Pulau Tikus di mana mereka membuat laporan terhadap penguatkuasa MBPP yang menyita gerai mereka.

Mereka juga merakam video perjalanan mereka di telefon bimbit dan kemudiannya memuat naik klip itu di Facebook.

Pegawai MBPP berkata kedai makan itu beroperasi secara haram di atas tanah rizab kerajaan dan sudah membuat serbuan sebanyak 3 kali sejak April tahun lepas.

Berang gerai diserbu, peniaga bawa lari lori MBPP