Polis nafi warga Turki ditangkap atas arahan luar

khalid-abubakar-2ndsuspectKUALA LUMPUR: Polis hari ini menafikan siri tangkapan beberapa rakyat Turki minggu ini adalah atas arahan pihak luar.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak menerima sebarang arahan luar negara dalam penahanan 3 warga Turki itu, iaitu 2 ahli akademik dan seorang ahli perniagaan.

“Kenapa kita nak tunggu arahan dari luar negara pula. Kita ada undang-undang negara sendiri.

“Kita yang menjaga keselamatan negara sendiri. Kita berhak menentukan siapa yang kita hendak tangkap dan tahan,” katanya.

Khalid berkata setakat ini masih belum ada keperluan membincangkan soal ekstradisi kepada pihak berkuasa Turki.

Pada 2 Mei, warga Turki Turgay Karaman dan Ihsan Aslan ditahan oleh polis atas tuduhan terlibat dengan kegiatan militan IS.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dan akan dibawa ke panel bagi menentukan sama ada akan turut disiasat di bawah Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (Poca).

Isteri kedua-duanya menafikan suami mereka terlibat dengan mana-mana kegiatan yang salah.

Penangkapan Turgay dan Ihsan disusuli dengan penangkapan Ismet Ozcelik, seorang ahli akademik, semalam. Turgay pernah menjawat pengetua sebuah sekolah swasta di Ipoh, manakalah Ihsan yang menetap di Malaysia selama 15 tahun menjalankan pernigaan tudung.

Siri penangkapan itu dilaporkan beberapa laman kendalian wartawan Turki, yang mengaitkannya kepada tindakan kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan ke atas penyokong pergerakan Muhammed Fethullah Gulen, tokoh agama yang dituduh menjadi dalang percubaan rampasan kuasa tahun lalu.

Khalid hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk rakyat asing yang memasuki Malaysia agar tidak bertindak sesuka hati hingga menganggu gugat keamanan negara.

“Orang-orang yang mengganggu gugat ketenteraman negara, kita tidak alu-alukan dia datang. Kalau hendak ganggu gugat ketenteraman kita, tidak perlu datang.

“Jangan bawa masalah negara dia ke negara kita. Negara kita ini aman damai dan tenteram. Jangan cuba bawa masalah dia ke sini dan mengucar-kacirkan kita di sini.”

Zahid: 2 warga Turki ditahan disyaki terlibat dengan IS

tags; bahasa, FMT, Malaysia, KL, Turki, Khalid Abu Bakar, Fethullah Gulen, IS, militan