Polis Terengganu sasar ‘sifar rempit’ hujung tahun ini

matrempit_inactionKUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan menggiatkan usaha menangani gejala rempit dan komited mencapai sasaran ‘sifar rempit’ sehingga akhir tahun ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata sasaran tersebut sebagai tindakan susulan bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mengekang gejala tersebut di kalangan pelajar dan belia.

“Satu pencapaian besar untuk mengurangkan kegiatan ini…dahulu kawasan Durian Burung, Kuala Ibai dan sebagainya menjadi sasaran mat rempit khususnya pada hari minggu sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata hampir 95% kegiatan rempit di sekitar Kuala Terengganu berjaya dikurangkan berikutan inisiatif kerajaan negeri menganjurkan beberapa aktiviti membabitkan sukan permotoran di litar bertaraf antarabangsa di Gong Badak.

Selain itu, Aidi yang dilantik mengetuai polis pada April lepas menggantikan Datuk Rosli Ab Rahman yang dinaikkan pangkat menyandang jawatan ketua polis Pahang berkata, pencegahan gejala rempit adalah antara fokus yang dilaksanakan sebelum ini dan beliau akan meneruskannya selain memperkasakan Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) bersama agensi lain.