Rafizi dedah aliran wang NGO miliknya pula

rafizi-gaji

PETALING JAYA: Selepas dicabar Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly, Naib Presiden Rafizi Ramli hari ini mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan dana pusat penyelidikan Invoke serta Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).

Menurut Rafizi walaupun beliau berpendapat tidak wajar untuk melayan kerenah Adam yang direhatkan daripada jawatannya dan sedang disiasat lembaga disiplin parti berhubung kesnya, beliau percaya seorang penjawat awam sepertinya perlu tangkas memberi jawapan dalam isu ketelusan.

Menerusi kenyataan media yang diedarkan, Rafizi mendedahkan Invoke sejak ditubuhkan sehingga 30 April 2017, memperoleh pendapatan sebanyak RM2,780,652 dan antara pendapatan yang diperolehinya adalah menerusi jualan meja, tiket dan barangan semasa majlis kutipan dana; suntikan dana beliau sendiri dan jualan barangan secara online melalui eShop.

Manakala perbelanjaannya sehingga 30 April 2017 berjumlah RM2,394,440 dan antara perbelanjaan yang dibuat adalah mengubahsuai pejabat di 17 lokasi pejabat, kelengkapan bukan elektronik; kelengkapan elektronik; kelengkapan call centre dan sistem kaji selidik elektronik.

Rafizi dalam masa yang sama turut mendedahkan jumlah baki wang Invoke berjumlah RM386,212.

Manakala sebuah lagi organisasi yang diasaskannya iaitu NOW, Rafizi menyatakan organisasi berkenaan tidak mempunyai pendapatan sepanjang tahun 2016 dan 2017 kerana tidak menganjurkan majlis kutipan dana atau sebarang kempen kutipan dana secara atas talian.

“Perbelanjaan NOW adalah minimum (sewa pejabat) dan didahulukan oleh saya. NOW tidak mempunyai kakitangan,” katanya.

Hari ini, Adam yang sedang bercuti sebagai ketua AMK Ampang menuntut Rafizi mendedahkan dana pusat penyelidikan Invoke dan NOW.

Beliau turut menuntut Rafizi telus berkaitan dana 2 NGO yang diasaskannya itu dan menyatakan tidak boleh berdiam diri lagi kerana sudah lama bersabar.