Rakam bawah skirt wanita, chef dipenjara 12 bulan

Thian-Kit-Siong_jail_600

SINGAPURA: Seorang chef dari Malaysia dijatuhi hukuman 12 bulan penjara kerana merakam video bawah skirt wanita di pasar raya di Singapura .

Polis menemui 203 klip video rakaman bawah skirt di dalam telefon bimbitnya.

Pada 4 Mei, Thian Kit Siong, 33, mengaku bersalah terhadap 37 tuduhan menghina kehormatan wanita. Hukuman penjara 12 bulan adalah hukuman paling lama dijatuhkan kepada pesalah itu, menurut laporan Straits Times (ST).

Hukuman maksimum bagi kes penghinaan maruah adalah penjara selama setahun dan denda bagi setiap pertuduhan.

ST berkata 99 pertuduhan lain akan dipertimbangkan semasa beliau dijatuhi hukuman.

Mahkamah diberitahu Thian mengambil video wanita secara rambang di pusat membeli-belah, tempat beliau bekerja dan di stesen MRT City Hall.

ST melaporkan Timbalan Pendakwa Awam, Jasmine Chin-Sabado sebagai berkata Thian biasanya turun ke tingkat bawah tanah salah satu pusat membeli-belah dan mencari wanita muda yang memakai skirt.

Selepas mengenal pasti mangsa dan memastikan tidak ada orang memerhatikannya, beliau menghidupkan telefon kepada mod video dan berdiri sama ada di sebelah atau di belakang mangsa.

ST melaporkan beliau menterbalikkan telefon bimbit ke bawah supaya kanta kamera itu menghadap ke atas dan meletakkannya di antara kaki mangsa dan merakam bahagian dalam skirt mangsa.

Laporan itu berkata, ketika melakukan perbuatan itu beliau akan berpura-pura melihat barangan yang dipamerkan di rak supaya dia boleh menjalankan rakaman secara berhati-hati dan mengelak daripada dikesan.

Namun nasibnya tidak baik pada 14 Jun tahun lepas, apabila seorang wanita bersama suaminya yang sedang memilih barang di pasar raya merasakan ada sesuatu menyentuh kakinya. Wanita itu melihat Thian dalam keadaan duduk dan memilih 2 kotak bijirin dari rak. Beliau mula curiga apabila melihat Thian turut memegang telefon di tangan kanannya.

Laporan ST berkata mangsa berlalu pergi dan mula memerhatikan Thian dari jauh, kemudian melihat lelaki itu mengekori wanita lain pula.

Wanita itu memberitahu suaminya dan mereka berdepan dengan Thian. Thian bagaimanapun tidak mengendahkan mereka dan pasangan itu mengejarnya. Seorang pegawai polis tidak bertugas melihat situasi itu lalu mendekati mereka dan memperkenalkan dirinya.

Apabila pegawai polis itu memeriksa telefon bimbit Thian, didapati terdapat banyak video rakaman bawah skirt wanita. Thian kemudiannya ditangkap, kata laporan ST.