SKMM tak intip mesej WhatsApp

salleh-said-keruak-mcmc-1KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya badan pengawal selia dan tidak memantau atau mengintip mesej yang dimuat naik pengguna aplikasi WhatsApp, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Mesej yang tersebar bau-baru ini mendakwa SKMM memantau kandungan dalam aplikasi itu adalah ‘sama sekali palsu’,” katanya kepada media selepas merasmikan ‘Biz World’ Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2017 hari ini.

Salleh berkata selama ini SKMM hanya memberi nasihat kepada masyarakat umum supaya tidak menyalahgunakan media sosial berikutan mereka terikat kepada undang-undang dan peraturan negara.

“Walaupun kita mempunyai kebebasan bercakap dan menulis, namun kita tidak mempunyai kebebasan memuat naik dakwaan atau khabar angin yang boleh mengancam kestabilan negara dan akhirnya memusnahkannya.

“Pihak berkuasa lain yang akan mengambil tindakan terhadap sesiapa didapati memuat naik dakwaan dan berita tidak berasas dalam sosial media,” katanya.

Mengenai rancangan Sarawak menubuhkan agensi komunikasi dan multimedianya sendiri, Salleh berkata ia merupakan perkembangan positif bagi negeri ini untuk terus maju.

“Dengan adanya agensi khusus seperti itu, Sarawak boleh mempercepatkan proses menaik taraf sistem ICT di negeri ini.

“Di peringkat pusat, kami sedia memberi kerjasama penuh. Kami mungkin mewujudkan jawatankuasa antara kami dan negeri untuk membantu melancarkan apa yang dirancangkan oleh negeri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata peruntukan turut disediakan bagi pembinaan menara komunikasi untuk meningkat kelajuan dan kadar penembusan.

“Kami akan bertemu Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Openg tengah hari ini untuk membincangkan lebih lanjut tentang perkara ini,” katanya.