Tuduhan kami pelampau tidak betul, kata Hindraf

waytha-khalid-zakirPETALING JAYA: Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mahu mengadakan pertemuan dengan ketua polis negara bagi menjelaskan kebimbangan mengenai kehadiran penceramah kontroversi Zakir Naik di Malaysia.

Pengerusi P Waythamoorthy berkata, polis juga perlu faham ketegangan sosial akibat daripada perkataan-perkataan yang didakwa berbaur hasutan oleh Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang baru-baru ini disiarkan melalui media sosial.

“Kami dituduh sebagai sebuah organisasi pelampau sedangkan kami jelas memperjuangkan hak masyarakat minoriti serta kebebasan beragama dan kehidupan bersama secara aman di negara ini,” katanya dalam surat kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

“Kami ingin menarik perhatian anda, jika penghinaan seperti yang Asri sebutkan itu dari masyarakat/bangsa lain, kami percaya kerajaan akan beri reaksi berbeza.”

Beliau berkata Hindraf belum menerima sebarang jawapan balas kepada surat yang dihantar kepada Khalid berkenaan Zakir dan kenyataan Asri.

“Kenyataan terbuka Zakir menghina anda dan polis masih berada di ruang umum tanpa sebarang tindakan daripada polis,” katanya.

“Semua surat kami sebelum ini belum terjawab dan oleh itu kita lihat hari ini ketegangan antara masyarakat bukan Islam dan Islam kian memuncak,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Zakir dan Asri yang didakwa menyinggung itu tidak hanya ditujukan kepada penganut Hindu, tetapi juga seluruh penduduk bukan Islam.

Beliau berkata pihak tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk melemparkan “kebencian, hasutan dan penghinaan” pada Hindraf dan bukan Islam.

“Biarpun begitu, sebagai pegawai tertinggi yang bertanggungjawab untuk keselamatan negara, kami mempertanggungjawabkan anda untuk perasaan tidak selesa, ketegangan kaum dan agama, kerana anda tidak bertindak ke atas aduan kami berhubung Zakir dan mufti Perlis,” katanya.

Beliau berkata ketiadaan tindakan itu menyebabkan orang bukan Islam meragui integriti polis dan keseriusan negara menangani isu seperti itu.

“Kegagalan anda bertindak menyebabkan keraguan sama ada negara kita selamat apabila radikal/pelampau asing berkeliaran bebas di negara kita,” tambahnya.

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India untuk disoal siasat mengenai dakwaan pengubahan wang haram dan terorisme, tetapi diberi status penduduk tetap oleh kerajaan Malaysia.

Asri baru-baru ini memuat naik “puisi” yang menyelar apa yang dipanggil oglongan “mempertuhankan lembu”. yang menimbulkan kemarahan penganut Hindu.

Bagaimanapun, mufti itu kemudian mendakwa ia menyasarkan Perdana Menteri India Narendra Modi kerana layanan pentadbirannya terhadap orang Islam di India.

Hindraf kemudian mengkritik Asri mengenai 2 video lama yang memaparkan Asri memberikan ceramah di mana beliau didakwa merendahkan agama Hindu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/29/hindraf-mahu-pbb-gesa-malaysia-batal-pr-zakir-naik/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/03/zahid-kata-zakir-bukan-pengganas-tak-perlu-halan