JPJ nafi anak tirikan pemandu Malaysia

jpj-borderARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan terdapat kelonggaran diberikan bagi kenderaan dari Thailand yang masuk ke Malaysia sebaliknya menegaskan kenderaan berkenaan turut tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sama seperti rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusannya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, sehubungan itu JPJ mengadakan pemantauan secara berterusan sepanjang tahun bagi mengawal kemasukan kenderaan Thailand ke Malaysia yang menyalahi peraturan.

“Tidak timbul soal JPJ menganaktirikan pemandu tempatan berbanding yang datang dari negara asing khususnya Thailand kerana kenderaan luar juga akan diambil tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang negara ini.

“JPJ tetap akan mengeluarkan notis saman ke atas pemandu dan pemilik kenderaan asing terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata beliau kepada pemberita selepas penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ dan Sambutan hari JPJ ke-71 di sini hari ini.

Wan Ahmad Uzir berkata, mengikut rekod bagi negeri Perlis sebanyak 875 Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dikeluarkan sejak Januari hingga Mac tahun ini dengan sebanyak 180 saman dikeluarkan.

“Tidak dinafikan ramai pemandu warga asing gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya negara ini, melibatkan pelbagai kesalahan antaranya penggunaan cermin gelap, langgar syarat permit ICP, tiada insurans, tidak memiliki lesen memandu dan sebagainya,” katanya.

Katanya, semua kenderan tersebut akan dipantau anggota JPJ yang bertugas di Padang Besar dan Wang Kelian sebelum memasuki negara ini, yang mana mereka tidak akan dibenarkan memperbaharui ICP jika masih memiliki saman yang tertunggak.